Khamis, 4 Ogos 2016 | 7:28pm
Makam Pahlawan di Jalan Taman Budaya, Kuching diziarahi pegawai kanan Divisyen Pertama Infantri serta veteran tentera hari ini.

Divisyen Pertama Infantri beri penghormatan pahlawan negara


Kubur Allahyarham Truper Rosli Buang diziarahi sempena sambutan Hari Pahlawan dan Jubli Emas Divisyen Pertama infantri, hari ini.

KUCHING: Markas Divisyen Pertama Infantri hari ini memberi penghormatan khas buat perajurit negara sempena sambutan Hari Pahlawan dan sambutan Jubli Emas 50 tahun ketumbukan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu.

Istiadat ketenteraan diadakan di Makam Pahlawan di Jalan Taman Budaya di sini sebagai penghormatan kepada Pahlawan Negara, mendiang Temenggong Datuk Kanang Langkau yang semadikan di makam berkenaan.

Turut bersemadi di Makam Pahlawan itu, 21 anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban ketika membantu tentera British menentang pengganas komunis di Tanah Melayu pada tahun 1950-an.

Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw mengetuai upacara di Makam Pahlawan itu.

Turut hadir memberi penghormatan, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta dua veteran pasukan tentera elit Australia yang pernah terbabit dalam Perang Dunia Kedua di Sarawak.

Sementara itu, kubur penerima pingat tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), Truper Rosli Buang, di Kampung Buntal, Santubong turut diziarahi hari ini.

Hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham Rosli ialah Panglima 3 Beiged Infantri, Brig Jen Mohd Bustaman Mat Zin dan Panglima 31 Briged Sempadan, Brig Jen Jamaluddin Jambi.

Allahyarham Rosli terkorban ketika beliau bersama beberapa anggota Rejimen Gerak Khas (RGK) bertempur dengan sepasukan pengganas komunis di hutan Perlop pada 6 Julai 1971.

Beliau dianugerahkan pingat keberanian SP pada 1972.

Berita Harian X