Isnin, 17 November 2014 | 2:22pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua dari kanan) bersama sebahagian barisan EXCO kerajaan Negeri Kedah menunjukkan buku ucapan Bajet 2015 sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kerajaan Kedah tumpu projek pembangunan bersifat pemangkin - Mukhriz

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memberi tumpuan kepada projek pembangunan bersifat pemangkin bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Kedah bukanlah sebuah negeri yang mempunyai hasil pendapatan yang tinggi seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

"Oleh itu kita perlu berusaha untuk menjana pertumbuhan ekonomi, dalam istilah lain untuk melihat kek ekonomi membesar. Cara kita lakukannya ialah melalui pelbagai projek pembangunan yang bersifat pemangkin.

"Ini bertujuan untuk menyuntik pertumbuhan ekonomi lebih pesat kepada Kedah dan dengan pertumbuhan itu, ia dapat diagihkan dengan cara yang adil dan saksama kepada setiap lapisan masyarakat di Kedah," katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet Negeri Kedah 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat, Kedah menghadapi banyak kekangan, termasuk kekurangan modal.

Mukhriz berkata, walaupun hasil daripada sumber seperti pembalakan, mineral dan cukai tanah mencatatkan pertumbuhan kira-kira lima hingga enam peratus, ia bersifat organik yang tumbuh secara perlahan.

"Kita terpaksa cari apa pendekatan untuk membawa anjakan paradigma kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Kita akui sangat bergantung kepada perhatian dan bantuan kerajaan persekutuan untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi kerajaan negeri.

"Setakat ini kerajaan persekutuan tidak pernah menolak permintaan kita dalam pelbagai aspek, menyebabkan kita rasa sangat yakin bahawa kerajaan persekutuan akan terus memberi perhatian dan bantuan kepada negeri Kedah, sekali gus menjayakan cita-cita kita untuk tumbuh lebih pesat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam soal perumahan, laporan menunjukkan bahawa jumlah projek yang diluluskan mempunyai lonjakan yang tinggi pada 2014 dan trend itu dijangka akan berterusan dalam beberapa tahun akan datang.

"Ada banyak agensi kerajaan negeri, kerajaan persekutuan termasuk swasta membantu menyumbang kepada usaha merealisasikan sasaran untuk membina tidak kurang 6,000 rumah mampu milik dan kos rendah.

"Ini rekod cemerlang, jauh melebihi apa dilakukan kerajaan negeri sebelum ini, sebelum Barisan Nasional (BN) ambil alih pentadbiran negeri pada 2013, sekali gus membuktikan kerajaan BN peka dan prihatin dan terus bertindak untuk memenuhi permintaan pasaran iaitu pemegang kepentingan, rakyat Kedah," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X