Rabu, 27 Julai 2016 | 6:50pm

Kerjasama strategik RHB AM, NB

KUALA LUMPUR: RHB Asset Management (RHB AM), entiti di bawah RHB Banking Group, memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik (SPA) dengan firma pelaburan berpangkalan di New York, Neuberger Berman (NB).

Pengarah Urusan dan Ketua Serantau RHB AM, Eliza Ong, berkata kerjasama merangkumi tempoh lima tahun dengan NB itu bakal mengukuhkan kehadiran syarikat dalam pasaran ekuiti di seluruh Asia.

"Di bawah perkongsian strategik ini, kedua-dua kumpulan akan melihat manfaat dan keupayaan teras, pengalaman serta kepakaran masing-masing.

"Selain itu, sinergi ini adalah untuk membangunkan dan menawarkan ekuiti persendirian dan strategi alternatif lain dalam kedua-dua skop konvensional dan Syariah," katanya kepada media selepas majlis menandatangani SPA, di sini, sebentar tadi.

Pada majlis itu, RHB AM turut melancarkan dana ekuiti persendirian pelbagai strategi, RHB Private Equity Opportunity Fund 1, instrumen pertama seumpamanya di Asia.

Dana itu ditawarkan pada harga RM1 seunit dengan pelaburan awal minimum berjumlah RM100,000. 

Pengenalan dana berkenaan adalah untuk mencapai pulangan modal risiko terlaras menarik menerusi portfolio pelaburan dalam tempoh tujuh tahun langganan. 

RHB Private Equity Opportunity Fund 1 juga akan menggunakan platform ekuiti persendirian NB bagi memilih strategi dana terbaik termasuk ekuiti langsung, hutang persendirian langsung serta strategi khusus dan oportunistik sekunder.

Dana itu turut menawarkan yuran pengurusan 2.5 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) setahun.

Eliza berkata, dengan pengalaman dan kepakaran 29 tahun NB, pihaknya percaya RHB Private Equity Opportunity Fund 1 mampu mencapai pertumbuhan modal jangka panjang iaitu kadar pulangan dalaman (IRR) kasar 15 hingga 20 peratus.

Katanya, dana itu akan diselia oleh pasukan NB yang memiliki lebih 100 pakar pelaburan yang memberi tumpuan dalam ekuiti persendirian dan aset bawah pengurusan (AUM) berjumlah AS$35 bilion (RM142.5 bilion).

"Ia akan menawarkan pelabur, pendedahan kepada pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, selain peluang mempelbagaikan pelaburan," katanya. 

Menerusi perkongsian itu, RHB dan NB akan bertindak sebagai pengurus sub dana pelaburan, bertanggungjawab ke atas semua sumber, serta melaksanakan dan menguruskan pelaburan.   

Perkongsian strategik antara RHB AM dan NB itu, termasuk membangunkan penyelesaian ekuiti persendirian peribadi kepada pelabur dengan nilai bersih tinggi, selain menyasarkan pulangan sederhana kepada tinggi dengan istimewa bagi tempoh dana yang lebih pendek daripada dana ekuiti persendirian biasa.

Info:

Neuberger Berman (NB)

* Ditubuhkan pada tahun 1939

* Firma pelaburan bebas global milik swasta

* Aset AS$243 bilion meliputi ekuiti, pendapatan tetap dan pelaburan alternatif.

* Mempunyai 34 pejabat di 19 negara di seluruh dunia

* Miliki lebih 2,100 pekerja

Berita Harian X