Rabu, 27 Julai 2016 | 10:53am
SAHAM Asia meningkat dalam dagangan awal pagi ini susulan sesi agak memberangsangkan semalaman di pasaran Amerika Syarikat dan Eropah. - Foto hiasan/AP

Pasaran saham Asia dibuka tinggi

TOKYO: Saham Asia meningkat dalam dagangan awal pagi ini susulan sesi agak memberangsangkan semalaman di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Bagaimanapun, dagangan berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) mengehadkan kenaikan.

Mata wang selamat, yen, mencatatkan kenaikan tinggi apabila harapan pakej rangsangan fiskal yang besar dilaksanakan Jepun semakin pudar.

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun meningkat 0.1 peratus.

Nikkei Jepun meningkat 1.1 peratus dan saham Australia menambah 0.3 peratus.

Indeks Kospi Korea Selatan hampir tidak berubah.

Semalam, pasaran saham AS ditutup bercampur-campur manakala saham di Eropah diniagakan sedikit tinggi apabila kenaikan dalam saham barangan pengguna serta penjagaan kesihatan menyokong pasaran rantau itu bagi mengimbangi kekhuatiran terhadap sistem perbankannya.

Semua mata kini tertumpu kepada Fed yang memuktamadkan mesyuarat dasar dua harinya lewat hari ini.

Bank pusat AS dijangka mengekalkan dasar monetarinya dan pasaran akan menunggu kenyataan bank pusat itu, memandangkan sidang akhbar tidak akan diadakan selepas itu, bagi mendapatkan sebarang isyarat kenaikan kadar faedah akan datang.

Ketua Strategi Mata Wang Global Brown Brothers Harriman, Marc Chandler, berkata beliau menjangkakan kenyataan agak memberansangkan daripada Fed. - Reuters

Berita Harian X