Rabu, 20 Julai 2016 | 8:06pm
HARGA minyak mentah tinggi dalam dagangan lengang semalam kerana pelabur menunggu petunjuk jelas daripada perangkaan inventori Amerika Syarikat sama ada lebihan bekalan berkurangan di negara pengguna minyak terbesar dunia itu. - Foto hiasan

Harga minyak tinggi, pelabur harap lebihan bekalan berkurangan

LONDON: Harga minyak mentah tinggi dalam dagangan lengang hari ini kerana pelabur menunggu petunjuk jelas daripada perangkaan inventori Amerika Syarikat (AS) sama ada lebihan bekalan berkurangan di negara pengguna minyak terbesar dunia itu.

Kontrak penanda aras minyak mentah global, Brent naik 20 cents kepada AS$46.86 setong pada 0947 GMT. Semalam, kontrak itu ditutup 30 cents atau 0.6 peratus lebih rendah.

Kontrak minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) naik tiga cents kepada AS$44.68 setong. Ia jatuh 59 cents atau 1.3 peratus pada sesi sebelumnya.

Kontrak Ogos akan tamat tempoh akhir dagangan hari ini.

Agensi kerajaan AS, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) akan mengeluarkan perangkaan stok simpanan pada 1430 GMT hari ini.

Jika EIA mengesahkan pengurangan, ia akan menjadi minggu kesembilan berturut-turut stok simpanan minyak mentah AS jatuh.

Semalam, kumpulan industri, American Petroleum Institute (API), melaporkan bahawa stok simpanan minyak mentah jatuh sebanyak 2.3 juta tong minggu lalu.

Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding 2.1 juta tong yang diunjurkan dalam pungutan suara Reuters.

Bagi inventori disuling termasuk diesel, API melaporkan pengurangan mengejut sebanyak 484,000 tong. Namun, perangkaan juga menunjukkan peningkatan petrol di luar jangkaan sebanyak 805,000 tong. - Reuters

Berita Harian X