Rabu, 20 Julai 2016 | 10:43am
PASARAN Saham Tokyo. - Gambar hiasan

Saham Asia rendah pagi ini

TOKYO: Saham Asia jatuh pada awal dagangan hari ini selepas peningkatan ke paras rekod di Wall Street menunjukkan keredaan, sementara dolar Amerika Syarikat (AS) berlegar menghampiri paras tinggi dalam empat bulan berbanding kumpulan mata wang lain berikutan perangkaan AS yang kukuh.

Minat risiko global, yang pulih secara ketara daripada kejutan Brexit, menerima peringatan serius selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengurangkan unjuran pertumbuhan global untuk dua tahun susulan ketidaktentuan daripada langkah Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI jatuh 0.1 peratus. Indeks Kospi Korea Selatan jatuh 0.3 peratus dan Indeks Nikkei Jepun 0.7 peratus lebih rendah.

Bagaimanapun, saham Australia bergerak bertentangan dengan meningkat 0.4 peratus.

"Dolar AS terbukti menjadi pemenang besar ketika bank pusat di seluruh dunia bercakap mengenai pengurangan," kata Pengarah Pengurus Strategi FX BK Asset Management, Kathy Lien.

"Ia menjadikan Rizab Persekutuan AS dan Bank of Canada sebagai "askar tunggal" yang kekal dengan dasar kukuh. Kami tidak melihat pengukuhan ketara dalam dolar Kanada, sebahagiannya kerana harga minyak jatuh tetapi dolar AS dilihat mencatatkan momentum yang baik," katanya.

Indeks S&P 500 jatuh daripada paras tingginya semalam, sementara Indeks Dow industrials meningkat bagi lapan hari berturut-turut.

Indeks dolar, yang mengukur pengukuhan dolar AS berbanding mata wang utama berada pada paras 97.097, selepas mencecah paras tinggi dalam empat bulan pada paras 97.158.

Perangkaan perumahan AS bagi Jun yang lebih baik daripada dijangkakan membantu melonjakkan dolar AS.

Dolar berbanding yen diniagakan pada paras 105.89 yen selepas mencecah paras tinggi dalam tempoh sebulan pada paras 106.53 semalaman. - Reuters

Berita Harian X