Isnin, 18 Julai 2016 | 4:43pm

PERODUA sasar jualan 7,600 Bezza sebulan

tazargani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menyasarkan jualan 7,600 unit sebulan kereta sedan sulung keluarannya, Perodua Bezza, yang akan dilancarkan Khamis ini.

Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata Bezza disasarkan untuk mereka yang berhasrat untuk menukar kereta sedia ada, terutama pasangan baharu berkahwin dan keluarga muda.

Katanya, golongan sasar terbabit lazimnya memerlukan ruang simpanan barangan yang luas, seiring dengan fasa baharu dalam kehidupan mereka dan ini ditawarkan oleh Bezza yang dilengkapi ruang but seluas 508 liter, antara terbesar di pasaran.

Beliau berkata, Bezza juga menawarkan ruangan tambahan menerusi tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60:40, sekali gus menghasilkan konfigurasi kedudukan 8+1 untuk ruangan maksimum, bergantung kepada keperluan pelanggan.

"Berdasarkan maklum balas daripada pelanggan, kami dapati selepas mereka mencapai peringkat tertentu dalam kehidupan, mereka perlukan kenderaan yang boleh memenuhi keperluan perjalanan mereka. Justeru, kami percaya Perodua Bezza mampu memenuhi keperluan itu.

"Berdasarkan harga mampu milik dengan kualiti global, kami yakin sedan baharu ini akan mendapat sambutan baik daripada pembeli," katanya pada taklimat media sempena sesi pandu uji Perodua Bezza untuk media di Sungai Choh, Rawang, kelmarin.

Hadir sama Pengarah Urusan PERODUA Sales Sdn Bhd, Dr Zahari Husin.

Bezza yang menggunakan tagline 'Melengkaui Kompak' ditawarkan dalam lima varian - Standard 1.0L transmisi manual; 1.0L Automatik; 1.3L Premium X Manual; 1.3L Premium Automatik dan 1.3L Advance, yang dijual pada harga atas jual bermula dari rm37,300 hingga rm50,800.

Mengulas lanjut, Aminar Rashid berkata, pihaknya membelanjakan RM300 juta untuk membangunkan Bezza, dengan mengguna pakai 95 peratus kandungan tempatan.

Katanya, model konsep Bezza mula diperkenalkan pada Pameran Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2010 & kerja pembangunannya bermula sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, Bezza juga adalah kereta kedua yang dikeluarkan oleh Perodua dalam program transformasinya selepas Axia.

"Sesungguhnya Bezza adalah kereta yang dibangunkan oleh anak watan Malaysia untuk rakyat Malaysia," katanya.

Pelbagai ciri mewah ditawarkan oleh Bezza khususnya varian 1.3 Liter, termasuk butang tekan menghidu/mematikan enjin, kunci pintar, peranti sambung multimedia-mobile, sistem enjin terhenti (eco idle) dan kawalan kestabilan kenderaan (VSC).

Pada majlis kelmarin, Perodua turut diberikan Pensijilan 5 Bintang NCAP(untuk keselamatan) bagi Perodua Bezza 1.3L (Varian Advance), yang disampaikan oleh Pengerusi ASEAN NCAP, Professor Dr Wong Shaw Voon kepada Aminar Rashid.

INFO

Harga Perodua Bezza:

* Standard 1.0L transmisi manual rm37,300

* Standard 1.0L Automatik rm39,300

* 1.3L Premium X Manual rm42,800

* 1.3L Premium Automatik rm44,800

* 1.3L Advance rm50,800

* Terima 1,200 tempahan setakat kelmarin

Berita Harian X