Ahad, 17 Julai 2016 | 12:00am

Kemala nafi jadi diktator dalam NUMERA

PERSATUAN Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA) yang dibangunkan Presidennya, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, dikatakan sebagai projek peribadi Sasterawan Negara (SN) itu. Benarkah tanggapan itu?

Wartawan Sastera & Budaya, Siti Haliza Yusop bersemuka Ahmad Kamal yang turut dikenali sebagai Kemala bagi mengetahui idealisme di sebalik penubuhan NUMERA.


SASTERAWAN Negara, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah. - Foto Shiraz Ali

S: NUMERA dianggap projek peribadi Datuk. Apa penjelasan Datuk mengenai pandangan ini?

J: Projek peribadi saya? Ini jenaka abad ke-21. Begini, selepas saya meninggalkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia yang saya ketuai mengalami zaman merudum walaupun beberapa kali menganjurkan aktiviti sastera bandingan serantau dan mancanegara. Entah di mana skru longgar, ahli jawatankuasa (AJK) yang menjadi kakitangan DBP semacam kehilangan punca. Acara terakhir kami anjurkan ialah Seminar Kepengarangan Muslimah Nusantara pada 2009.

Situasi kebahasaan dan kesusasteraan juga mengalami zaman mencabar, seolah-olah tersekat-sekat antara Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kubu kuat etnik yang memandang rendah taraf sekolah kebangsaan. Kementerian Pendidikan pula tidak lagi memasukkan kesusasteraan Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura dalam pembelajaran peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Di universiti awam (UA), sastera Melayu seolah dikesampingkan. Timbul dalam idealisme saya untuk mewujudkan Nusantara Melayu Raya (NUMERA) menggabungkan aspirasi seni, sastera dan budaya.

Ia disokong oleh protem komiti NUMERA, iaitu Prof Dr Irwan Abu Bakar, Malim Ghozali PK, Prof Madya Dr Abdul Halim Ali, Umar Uzair, Ilya Kablam dan Ghazali Din. Pada Februari 2012, Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan persatuan ini bergerak secara sah. Semua idea dan saranan ditapis dalam mesyuarat AJK, manakala jika ada gagasan saya, pun tentulah diajukan untuk diluluskan. Saya bukanlah diktator abad ke-21.

S: Mereka menyertai NUMERA dikatakan bukan pihak berautoriti dan disifatkan 'suam-suam kuku'. Apa pandangan Datuk mengenai perkara ini?

J: Sesiapa saja penulis kreatif dan sarjana boleh menjadi ahli. Kita tidak mengaku berautoriti. Siapakah yang 'super-autoritatif'? Profesor dan doktor sastera mana? Tiada siapa boleh mendabik dada.

Sedangkan panel Anugerah Sastera Negara (ASN) atau badan juri peringkat dunia seperti Hadiah Nobel, Hadiah Antarabangsa Nuestadt untuk Kesusasteraan dan Hadiah Booker pun tidak sunyi disanggah, inikan pula NUMERA yang baru setahun jagung.

Bagaimanapun, ramai AJK NUMERA berpengalaman puluhan tahun menjadi juri Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan Anugerah Penghargaan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Kalau ada mengatakan kami 'suam-suam kuku' tidak apa, tidak rugi walaupun sekuku. Apa yang akan berbicara adalah karya dan aktiviti NUMERA Malaysia yang sudah diterima dunia Melayu Raya dan antarabangsa. Beberapa tokoh kami mula menerima pengakuan peringkat antarabangsa dan diundang dalam seminar di Eropah, Timur Jauh, Bangladesh dan Nusantara.

S: Bagaimanakah Datuk melihat sumbangan NUMERA dalam meningkatkan dunia kesusasteraan Melayu?

J: Dalam ucapan saya pada Ekspresi Puisi Dunia Numera 2016, saya akui NUMERA Malaysia masih setahun jagung tetapi kami berupaya menganjurkan Sayembara Menulis Puisi Sedunia yang mendapat sambutan meriah. Malahan Baca Puisi dan Ekspresi Puisi Dunia NUMERA yang disertai puluhan penyair Nusantara dan dunia sudah tiga kali dianjurkan.

Ini kesinambungan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur yang macet di pertengahan jalan pada 2006 selepas lebih sedekad berjaya menjadi forum pengucapan puisi dunia. Buku Puisi untuk Baca Puisi Dunia ini diterbitkan dan pesertanya terbabit dalam forum intelektual yang membahaskan perkembangan puisi serantau dan dunia mutakhir.

Beberapa tokoh sastera dunia terbabit seperti Jean Saveri, Anna Pogadaeva, Soni Farid Maulana dan Acep Zamazam Noor. NUMERA berusaha memberikan pengakuan kepada sarjana dan sasterawan yang memajukan bahasa dan sastera Melayu bukan saja di Nusantara, bahkan dunia.

S: Ke mana sebenarnya hala tuju NUMERA?

J: Hala tuju NUMERA jelas, iaitu mendaulatkan bahasa dan sastera Melayu bukan saja dunia Melayu, bahkan antarabangsa. Kami merencanakan seminar dan baca puisi di Eropah, Jepun, Korea dan China, selain rantau Asia Tenggara.

Gagasan Ekspresi Puisi Dunia Numera keempat akan diteruskan dan ingin bergabung dengan DBP sekiranya Pengucapan Puisi Dunia itu dihidupkan kembali. NUMERA merintis ekspresi dan sayembara mengarang puisi, cerpen dan esei dan novel secara sederhana. Kami ingin mewujudkan Anugerah Tertinggi Kreatif Bahasa Melayu, selari dengan Hadiah Nobel.

Sesuai dengan Menara Kembar Petronas dan Menara Tinggi Wawasan yang akan dibangunkan, wajarlah Anugerah Tertinggi Kesusasteraan Kreatif NUMERA direalisasikan. Ini berkehendakkan inisiatif negara berbahasa Melayu-Indonesia dan hendaknya badan korporat dan pemerintah terbabit.

Ini sudah saya ucapkan pada Malam Penobatan Tiga Tokoh NUMERA di Auditorium DBP bulan lalu. Pendaulatan bahasa dan sastera serta budaya Nusantara Melayu Raya wajar diperkukuh agar jatidiri dan sahsiah dan tamadun Melayu Raya dapat dijulang.

Berita Harian X