Khamis, 13 November 2014 | 6:05pm

Proton transformasi pusat 3S


Pusat 3S Proton di Pasir Gudang, Johor.

PASIR GUDANG: Proton Holdings Bhd (Proton) memperkenalkan wajah baharu pusat 3S, bermula di cawangan Pasir Gudang sebagai sebahagian transformasi pengeluar kereta itu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd, Norzahud Mohd Zahudi, berkata pusat 3S (jualan, servis, alat ganti) di Pasir Gudang menjadi pemula kepada program naik taraf cawangan di seluruh negara.

"Menerusi pelan transformasi ini, pusat servis ini bukan saja berperanan sebagai galeri jualan, malah dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang menunggu, bilik mesyuarat, siaran televisyen berbayar dan WiFi.

"Pusat 3S ini dilengkapi lapan ruang servis dan mampu menyelenggara 15 kenderaan sehari," katanya selepas majlis penjenamaan semula pusat 3S itu yang dikendalikan Kulis Auto Sdn Bhd, di sini hari ini.

Yang hadir sama pada majlis itu Pengurus Kulis Auto, Sharifah Syed Agil.

Mengenai jualan, Norzahud berkata, tahun lalu bahagian pasaran Proton di Johor meningkat kepada 14 peratus di Johor, dan angka itu dijangka meningkat hingga 30 peratus tahun ini.

Hingga kini Proton sudah menerima 22,000 tempahan untuk model terbaharu, Iriz. Justeru, seiring dengan peningkatan untuk semua model Proton, cawangan Proton di seluruh negara wajar menjalani transformasi untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama itu.

Proton kini memiliki 270 pusat servis seluruh negara yang mana 16 daripadanya sudah dinaik taraf kepada 4S (jualan, servis, sistem dan alat ganti. Selain itu, 47 cawangan kini dibuka tujuh hari seminggu bermula 10 Oktober lalu dan jumlah itu akan ditambah secara berperingkat mulai Januari depan.

Berita Harian X