Khamis, 14 Julai 2016 | 3:47pm

PERODUA bakal lancar model sedan sulung

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya dengan kereta kompak sehingga mengungguli jualan kenderaan di pasaran tempatan sejak lebih 20 tahun lalu terutama menerusi model Kancil, MyVi dan Axia, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kini tampil pula dengan model sedan.

Model sedan sulung syarikat automotif terkemuka tempatan itu yang belum diketahui namanya, dikatakan bakal dilancarkan dalam masa terdekat, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan model kepada orang ramai.

Menurut potral berita pemotoran berbahasa Melayu - Careta, yang diberi kesempatan menguji pandu model terbaharu Perodua itu baru-baru ini, sedan berkenaan akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.0 liter dan 1.3 liter, dengan jaminan lima tahun.

Model sedan berkenaan mengguna pakai platform Axia, dengan reka bentuk badan dan ruang kabin direka oleh kakitangan PERODUA sendiri. Ia juga adalah model pertama PERODUA menggunakan sepenuhnya kepakaran reka bentuk tempatan.

Model terbaharu ini dibina dengan kandungan bahan tempatan yang sangat tinggi, malah antara yang tertinggi dalam kalangan kenderaan tempatan.

Varian 1.0 liter didatangkan dengan transmisi manual 5-kelajuan, transmisi automatik 4-kelajuan dan Standard G (manual dan auto), manakala Varian 1.3 liter menawarkan transmisi manual 5-kelajuan, transmisi automatik 4-kelajuan, Premium X (manual dan auto) dan Advance (auto sahaja).

Kedua-dua enjin berkenaan dihasilkan di kilang baharu PERODUA/Daihatsu di Negeri Sembilan. Enjin 1.0 liter 1KR-VE VVTi adalah sama dengan enjin Axia, manakala enjin 1.3 liter 1NR-VE dwi VVT-i adalah enjin suntikan langsung (direct injection) baharu yang moden.

Model sedan ini dibina dengan objektif penggunaan bahan api serendah 22.9 km/l dan memenuhi ciri kenderaan Energy Efficient Vehicle (EEV) oleh MAI/MITI.

Malah, bagi varian 1.3 Advance, ia dilengkapkan dengan sistem Eco-Idle atau sistem Henti Melahu, yang mana enjin akan mati sendiri apabila berhenti ketika lampu isyarat merah atau apabila kenderaan tidak bergerak, dan akan hidup semula secara automatik apabila menekan pedal minyak.

Varian 1.3 liter Advance juga muncul model PERODUA yang pertama mendapat pengiktirafan ASEAN NCAP 5-bintang kerana ia dilengkapi kawalan kestabilan kenderaan (VSC).

Harga jualan kedua-dua varian 1.0 liter dan 1.3 liter yang dikategorikan dalam sedan Segmen A dijangka dalam julat di antara RM30,000 hingga RM55,000.

INFO:

PERODUA Sedan 1.0 Liter

* Transmisi manual 5-kelajuan

* Transmisi automatik 4-kelajuan

* Standard G (manual dan auto)

PERODUA Sedan 1.3 Liter

* Transmisi manual 5-kelajuan

* Transmisi automatik 4-kelajuan

* Premium X (manual dan auto)

* Advance (auto sahaja)

Berita Harian X