Khamis, 14 Julai 2016 | 2:34pm

Mahkamah cadang selesaikan melalui mediasi


DATUK Seri Mukhriz Mahathir (kanan) dan Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menyarankan supaya kes saman fitnah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad diselesaikan melalui proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Irzan Iswat Mohd Nor mewakili Mukhriz, kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Roslan Abu Bakar yang turut dihadiri peguam Ooi She Yi mewakili Tengku Sharifuddin.

Irzan Iswat berkata, mahkamah menetapkan 10 Ogos ini untuk pengurusan kes itu.

Mukhriz, 51, memfailkan saman itu pada 3 Mei lalu yang mendakwa defendan mengeluarkan empat kenyataan iaitu pada 15, 20, 23 dan 26 April lalu.

Empat tajuk kenyataan itu adalah, 'Prime Minister's Press Secretary Statement on Donation Confirmation by Saudi Arabian Foreign Minister'; 'Prime Minister's Press Secretary Statement on Former DPM's Reuters Interview'; 'Mukhriz Mahathir Statement: Response by Prime Minister's Press Secretary' dan 'Prime Minister's Press Secretary Statement on Tun Mahathir Mohamed and Mukhriz Mahathir'.

Mukhriz mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Tengku Sharifuddin dalam pernyataan pembelaannya menafikan empat kenyataan itu memfitnah Mukhriz tetapi menegaskan kenyataan itu bertujuan menjelaskan dan menegah tuduhan yang tidak benar terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 14 Jun, katanya, beliau tidak pernah berniat jahat atau 'malice' dalam menerbitkan kenyataan media itu tetapi ia diterbitkan untuk pengetahuan dan kepentingan rakyat Malaysia.

Tegasnya lagi beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab berat dan besar untuk membela dan menegah tuduhan tidak benar itu agar masyarakat mendapat gambaran dan fakta sebenar yang telah dikelirukan dengan sengaja oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik tertentu.

Katanya, sebagai penjawat awam dan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, beliau mempunyai tanggungjawab dan tugas untuk memberi penjelasan dan kenyataan terhadap situasi politik di negara ini dan beliau juga dipertanggungjawab untuk bertindak serta memberi kenyataan kepada perkembangan politik di negara ini.

Tengku Sharifuddin berkata, kenyataan media itu adalah komen adil dan berpatutan berdasarkan fakta, isu dan perkara yang telah timbul dan hangat dibincangkan pada masa itu.

Oleh itu, katanya adalah berpatutan dan munasabah beliau yang berjawatan itu memberi komen adil dan berpatutan berdasarkan fakta sedia ada pada ketika itu.

- BERNAMA

Berita Harian X