Khamis, 14 Julai 2016 | 10:17am

Harga minyak pulih selepas jatuh teruk semalam

TOKYO: Harga minyak mentah meningkat pada awal dagangan di Asia hari ini selepas mencatatkan kejatuhan besar pada sesi sebelumnya.

Kejatuhan besar itu didorong kebimbangan terhadap lebihan bekalan selain data perangkaan yang lemah dari Amerika Syarikat (AS).

Kontrak minyak mentah Brent meningkat 37 cents kepada AS$46.63 setong pada 0032 GMT. Semalam, harga kontrak itu jatuh AS$2.21 atau 4.6 peratus kepada AS$46.26 setong.

Kontrak minyak mentah AS meningkat 43 cents kepada AS$45.18 setong. Kontrak itu jatuh AS$2.05 atau 4.4 peratus untuk ditutup pada paras AS$44.75 setong pada sesi sebelumnya.

Stok simpanan minyak mentah di AS jatuh kurang daripada dijangkakan pada minggu lalu, sementara inventori disuling meningkat paling tinggi sejak Januari dan stok petrol meningkat di luar jangkaan, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS semalam.

Perangkaan yang digambarkan pada musim memandu ketika musim panas yang secara tradisinya sibuk menerima permintaan lemah yang luar biasa.

EIA berkata, inventori minyak mentah jatuh 2.5 juta tong minggu lalu, kurang daripada kejatuhan tiga juta tong yang diunjurkan dalam pungutan pendapat Reuters.

Laporan itu memberi tekanan kepada harga di pasaran yang sudah jatuh selepas Agensi Tenaga Antarabangsa memberi amaran lebihan minyak global, dengan mengatakan bahawa peningkatan stok minyak mentah menyebabkan bekalan meningkat ke paras tertinggi dalam tujuh tahun. - Reuters

Berita Harian X