Khamis, 13 November 2014 | 3:29pm
Izreen mengakui masih baik dengan Amar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Saya dan Amar masih berkawan - Izreen


Izreen dan Amar sudah lama berkawan tetapi akrab lapan bulan lalu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam /BH]

KUALA LUMPUR: Timbul pelbagai spekulasi selepas Izreen Azminda memadamkan gambarnya bersama pelakon Amar Baharin. Sekalipun menafikan mereka hanya sekadar berteman rapat, ada yang mula menganggap mereka sebenarnya sedang dilamun cinta.

Soal cinta itu hanya ramalan semata-mata. Ini kerana pada empunya diri, baik Izreen dan Amar, kedua-duanya lebih selesa mengkelaskan hubungan mereka sebagai teman akrab. Tetapi tindakan Izreen memadamkan gambar itu mengundang pelbagai persoalan.

Keduanya sudah beberapa kali bekerjasama dan kenal lama. Namun akui Izreen, mereka akrab sekitar lapan bulan lalu. Menghangatkan sensasi hubungan mereka apabila drama Kerana Terpaksa Aku Relakan lakonan kedua-duanya mendapat sambutan hangat di TV3.


Mula digemari selepas bergandingan dalam drama Kerana Terpaksa Aku Relakan di TV3. - Foto Aziah Azmee

Ikuti penjelasan ibu tunggal kepada Adrian Umar (16 bulan) ini mengenai perkara berbangkit.

"Tidak timbul soal kami sudah tak rapat atau apa saja yang berlegar-legar di pemikiran orang. Saya dan Amar masih berkawan rapat. Kami masih seperti dulu. Cuma saya tidak mahu terlalu mendedahkan mengenai persahabatan kami.

"Saya naik rimas kerana hampir setiap hari, kisah kami dipetik. Saya faham peminat contohnya mendoakan ada jodoh antara kami. Doa itu satu yang baik. Tapi kita tidak tahu apa rencana Tuhan pada masa mendatang.

"Mungkin masing-masing akan bertemu jodoh yang lebih baik. Tapi andai suatu hari nanti sudah tertulis jodoh saya dengan dia...adalah. Saya tidak mahu orang seperti mendesak kami untuk berkahwin," katanya yang ditemui BH Online semalam ketika berlangsungnya sidang media pengenalan teater Takhta 3 Ratu di Bora Ombak.

Menurut Izreen, beliau mengharap pengertian dan pemahaman orang di luar sana supaya memberi ruang dan ketenangan buatnya. Beliau sudah sebagai artis, kisah peribadi sering mahu dikorek dan dihebahkan.

"Saya perlu bekerja keras untuk membesarkan anak dan fokus kepada kerjaya yang menjadi mata pencarian," katanya.

Cuba mengusik persoalan dirinya sudah bertemu pengganti atau masih solo, Izreen selesa mengatakan dirinya masih belum disunting mana-mana pihak. Tetapi perceraian yang terjadi Jun lalu tidak pernah menutup hatinya untuk dicintai dan mencintai lagi.

"Dalam hal ini saya tidak terfikir untuk mencari pengganti. Kalau ada...adalah. Saya tahu soal cinta ini akan datang sendiri. Cepat atau lambat saja. Saya tak akan menolak jodoh dengan sesiapa suatu hari nanti.

"Kalau Tuhan sudah kata A atau B jodoh saya...maka saya terima. Saya rasa semua manusia di muka bumi ini berhak untuk bahagia. Kisah lalu pahit atau manis (merujuk kepada perceraian) terus menjadi bekalan berharga," katanya.

Izreen dan bekas suaminya Muhammad Riza Baharuddin berkahwin pada 31 Ogos 2012 di Alor Setar, Kedah. Izreen melahirkan Umar pada 13 Julai 2013. Pasangan itu sah bercerai pada 9 Jun lalu selepas Riza memfailkan tuntutan cerai pada 14 Mei.

Sementara itu mengenai pembabitan sulungnya di pentas teater, Izreen menjelaskan semuanya bermula selepas ditawarkan berlakon oleh sutradara Erma Fatima untuk segmen persembahan di Anugerah Skrin 2014 baru-baru ini.

Teater Takhta 3 Ratu diterbitkan Erra Fazira Entertainment, Awie Entertainment dan Rumah Karya Citra Sdn Bhd (Erma Fatima). Teater ini akan dipentaskan mulai 13 hingga 22 Disember depan di Panggung Sari Istana Budaya.

"Saya akan memegang watak sebagai Galuh Chenderai. Rasa kecil juga diri ini dikelilingi pelakon hebat apatah lagi saya pertama kali mencuba nasib di arena teater. Selalunya setiap kali berlakon, saya akan mencabar diri.

"Mencabar diri maksudnya saya akan cuba untuk jadi setara dengan pelakon yang berpengalaman. Itu bukan bererti saya bersikap bongkak tetapi supaya saya tidak kekok berdampingan dengan mereka. Itu cara saya memotivasikan diri," katanya.

Tiket menonton teater Takhta 3 Ratu berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com.

Kapsyen

1)

2)

3)

4) Izreen Azminda

Berita Harian X