Khamis, 13 November 2014 | 3:18pm

5 Pusat Kompetensi 'Big Data' diwujudkan

PUTRAJAYA: Empat universiti dan satu politeknik dipilih untuk pembangunan fasa pertama Pusat Kompetensi 'Big Data' untuk melatih bakat-bakat tempatan dalam melahirkan lebih ramai pakar industri 'Big Data'.

Lima institut itu ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah; Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang; Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor.

Pusat Kompetensi 'Big Data' juga bakal dibangunkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam fasa seterusnya.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh, ketika melancarkannya di sini hari ini berkata, pusat kompetensi itu akan melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang saintis data, pemodel data, penganalisis data dan juga pelombong data.

"Permintaan dalam industri 'Big Data' adalah tinggi kerana pakar-pakar diperlukan untuk menganalisis data dalam membantu membuat keputusan yang efektif," katanya sambil menambah Malaysia memerlukan kira-kira 16,000 pakar untuk membuat analisis menjelang 2020.

Pusat Kompetensi 'Big Data' itu juga menawarkan peluang kerjasama dengan rakan-rakan industri iaitu syarikat-syarikat IT terkemuka dunia sebagai rakan akademik seperti Oracle, IBM, EMC, Microsoft, SAS dan Unisys dengan menawarkan tujuh kursus.

Pusat itu adalah usaha sama antara Kementerian Pendidikan dan Prestariang Berhad untuk melatih lebih ramai saintis data di Malaysia untuk mempelopori pembangunan negara ini ke arah ekonomi berdasarkan data.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi Prestariang Berhad, Datuk Ramli Abas, dan Ketua Pegawai Eksekutif Prestariang Berhad, Abu Hasan Ismail.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bahawa Malaysia mempertimbangkan pelantikan Ketua Saintis Data dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Abu Hasan berkata pusat berkenaan menawarkan tujuh kursus yang diiktiraf selain menyediakan pengalaman pembelajaran yang optimum untuk para pelajar agar mereka dilengkapi kepakaran ke pasaran pekerjaan.

Lima Pusat Kompetensi 'Big Data' itu dijangka dapat menempatkan 2,500 pelajar dalam tempoh tiga tahun akan datang, katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X