Khamis, 13 November 2014 | 2:49pm
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun. - Foto BERNAMA

Swasta digalak bina lebih banyak taska dalaman - Azizah

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan pihak swasta menubuhkan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di premis mereka bagi memudahkan ibu bapa terutama pekerja wanita menghantar anak ketika waktu bekerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata TASKA dalaman membolehkan anak-anak ditempatkan lebih dekat dengan ibu tanpa meresahkan ibu yang bekerja. "Mereka juga secara tidak langsung dapat memberi tumpuan terbaik semasa bekerja tanpa memikirkan tentang penjagaan anak-anak, sekali gus berjaya meningkatkan produktiviti kerja," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang ingin tahu mengapa inisiatif penubuhan taska di tempat kerja kurang mendapat sambutan pihak swasta.

Azizah berkata, ketika ini hanya terdapat 26 taska yang ditubuhkan di syarikat swasta termasuk di Proton, CIMB, Universiti Kuala Lumpur, Tenaga Nasional Berhad, Citibank dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Beliau berkata, antara faktor permohonan sesebuah syarikat untuk membuka TASKA dalaman ditolak ialah tempat kurang sesuai dan merbahaya kepada kanak-kanak.

"Kita boleh bekerjasama dengan mereka untuk mewujudkan di luar kawasan yang dianggap merbahaya ini, supaya ibu-ibu dan wanita yang bekerja khususnya di bawah industri dapat meletakkan anak mereka di tempat yang selamat dan selesa tanpa merasa susah hati," katanya.

Beliau berkata, sebagai galakan, kerajaan bersetuju untuk memberi insentif dan pengecualian cukai khas kepada mana-mana syarikat yang membuka taska di kawasan tempat kerja.

Kerajaan juga mencadangkan 'pengurusan kerja fleksibel kepada setiap syarikat dengan memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat kerja kepada pekerja wanita yang mempunyai anak.

"Ini bagi membantu wanita di negara ini terus bekerja dan dalam usaha meningkatkan 55 peratus wanita dalam tenaga buruh seperti yang diperuntukkandalam bajet 2015," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X