Rabu, 12 November 2014 | 3:12pm
MENTERI Besar, Mohamed Azmin Ali. - Foto ihsan PKNS

Selangor mahu pastikan Projek Langat 2 tiada unsur pembaziran - Azmin

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memastikan pembinaan Projek Langat 2 dinilai secara objektif supaya tidak ada unsur pembaziran sehingga membebankan rakyat.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan negeri yakin terdapat ruang bagi memastikan penstrukturan industri air memberi nilai terbaik kepada rakyat negeri itu.

"Walaupun beberapa perkara utama seperti kos dan terma pengambilalihan empat syarikat konsesi sudah diputuskan sebelum saya menjawat jawatan Menteri Besar, saya yakin ada ruang yang perlu digunakan sepenuhnya.

"Saya yakin dengan amalan keterbukaan dan ketelusan oleh pentadbiran baharu kerajaan negeri dalam proses penstrukturan air, ia akan berjaya mencapai persetujuan dengan semua pihak yang terbabit menyempurnakannya dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin berkata, kerajaan negeri melalui Air Selangor Sdn Bhd sudah memuktamadkan pembelian saham Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) seperti disyaratkan dalam Perjanjian Induk Penstrukturan Air Selangor pada 12 September lalu.

Beliau berkata, pembelian saham dari PNHB itu membabitkan dua syarikat pemegang konsesi air iaitu SYABAS dan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) yang dimuktamadkan pada hari terakhir tempoh masa dalam perjanjian induk itu.

"Dengan pembelian saham ini, sebahagian besar operasi dan aset air akan kembali kepada rakyat yang membolehkan Kerajaan Negeri Selangor melalui Air Selangor mula mengambil alih dan menyusun semula operasi SYABAS dan PNSB.

"Tumpuan utama akan diberikan kepada usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil yang merugikan rakyat serta memastikan bekalan air mencukupi secara berterusan untuk rakyat Selangor," katanya.

Katanya, Kerajaan Selangor juga berhasrat meningkatkan kecekapan perkhidmatan air yang lebih mesra rakyat dan cekap kepada pengguna di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Langkah seterusnya di dalam proses penstrukturan industri air ini ialah memuktamadkan pengambilalihan dua lagi syarikat konsesi iaitu ABASS dan SPLASH mengikut kerangka dasar yang menjamin kepentingan rakyat Selangor," katanya.

Berita Harian X