Ahad, 3 Julai 2016 | 12:00am

Anugerah Hadiah Sastera Perdana tidak mesra media, rakyat


MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) bergambar bersama penerima pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014. - Foto Sairien Nafis

SETIAP tahun, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pengarang tanah air. Ia bukan hanya soal kemenangan, bahkan piawaian karya dihasilkan.

Meskipun kebanyakan penulis beranggapan kerja mereka hanya menulis sementara kemenangan dalam HSPM atau mana-mana sayembara penulisan pula sebagai bonus, hakikatnya hadiah itu mempunyai merit tinggi dalam penilaian pengiktirafan sastera berprestij di Malaysia seperti Anugerah Sastera Negara (ASN) dan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write).

Dua tahun kebelakangan ini, HSPM selalu dilihat dengan mata prejudis oleh khalayak sastera. Antara sebabnya adalah keputusan HSPM yang dianggap tidak mencapai piawaian penjurian dan dianggap sebagai hadiah belas kasihan. Malah tidak kurang juga ada yang melihatnya sebagai 'cabutan bertuah.'

Hal ini berlaku gara-gara kebanyakan cerpen atau novel yang terlebih dahulu memenangi pelbagai sayembara seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan hadiah sastera negeri gagal mendapat tempat walaupun sebuah pada pentas kebangsaan itu meskipun sebagai contoh dalam kategori eceran cerpen memberi kemenangan kepada 10 karya.

Juri sentiasa ditukar

Namun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat HSPM ternyata peka dengan keadaan itu. Antara yang dilakukan DBP adalah juri yang dilantik sentiasa ditukar dan tahun lalu menyaksikan keputusan yang rata-rata diterima oleh khalayak sastera.

Begitupun, berita yang bertiup kencang ketika ini agak membimbangkan apabila HSPM khabarnya tidak lagi diadakan setiap tahun sebaliknya diadakan dua tahun sekali. Keadaan ini boleh difahami dengan mudah kerana dalam kegawatan ekonomi hari ini, bukan sedikit belanja yang perlu dikeluarkan untuk mengelolakan HSPM.

Khalayak sastera juga perlu menerimanya dengan hati terbuka atau susah senang bersama. Namun, sesuatu yang perlu dilihat oleh DBP adalah mungkin jumlah penerimanya ditambah kerana ia membabitkan penilaian dua tahun sekali.

Sesuatu yang perlu juga diberi penekanan oleh DBP ialah dasar buka pintu mereka dalam mendekati masyarakat. DBP sewajarnya bersikap mesra rakyat antaranya memaklumkan kepada khalayak bahawasa pencalonan HSPM untuk 2015 sudah lama dibuka dan sudah pun hendak tamat.

Enggan ulas isu pencalonan

Sedihnya hingga komentar ini ditulis, DBP masih enggan membuka mulut mengenai isu pencalonan ini sedangkan tarikh tutupnya pada Khamis ini. Selepas tarikh itu semua karya yang terbit pada 2015 tidak akan lagi dinilai untuk HSPM.

Kita maklum terhadap perubahan pimpinan khususnya bahagian yang dipertanggungjawabkan menyelenggara HSPM, tetapi sangat berharap ia tidak mengganggu sikap mesra media dan mesra rakyat yang diamalkan sebelum ini.

Setakat ini, tidak tahu lagi ke mana DBP hendak membawa khalayak sastera dan bahasa dalam usianya yang 60 tahun itu.

Berita Harian X