Khamis, 30 Jun 2016 | 2:55pm

MUIP serah zakat kepada 73 pelajar

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyerahkan sumbangan zakat kepada 73 pelajar Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) di Kolej Yayasan Pahang (KYP) Taman Gelora.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata sumbangan itu adalah tanda menghargai kesungguhan mereka berpuasa.

"Semua penerima adalah saudara baharu dan asnaf zakat daripada kumpulan fakir miskin serta fisabilillah.

"Pemberian sumbangan zakat kepada mereka yang layak dilakukan sepanjang tahun oleh MUIP dan kita memperbanyakkan programnya sepanjang Ramadan ini," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Zakat dan Penyampaian Sijil PETAMA, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan KYP, Norhishamuddin Yaacob.

Sementara itu, Wan Abdul Wahid berkata, penganugerahan sijil adalah program tahunan PETAMA bagi meraikan komitmen dan kesungguhan pelajar yang tamat mengikuti kursus peringkat lanjutan.

Berita Harian X