Rabu, 29 Jun 2016 | 1:23pm
NABILA Huda bersama anaknya, Keisha.

Nabila perkenal koleksi gincu

KUALA LUMPUR: Impian tertangguh pelakon, Nabila Huda, 32, selama tiga tahun untuk mengeluarkan koleksi gincu bibir sendiri akhirnya terlaksana menerusi penghasilan jenama Kupu Kupu.

Nabila berkata, produk berkenaan mengambil masa panjang untuk direalisasikan kerana dia mengeluarkan wang simpanan tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

Katanya, kepayahan yang dilalui sepanjang tempoh berkenaan selain berkat titik peluh sendiri membuatkan koleksi pertama yang berada di pasaran Jumaat ini lebih memuaskan hati.

"Terharu rasanya melihat hajat tertangguh selama tiga tahun akhirnya membuahkan hasil. Saya sudah lama menyimpan impian untuk tampil dengan produk gincu sendiri namun ia bukan mudah.

"Selain mencukupkan tabungan, saya juga mempunyai masalah dengan nama yang dipilih sebelum ini kerana sudah digunakan pihak lain. Kali ini saya ambil pendekatan menggunakan nama Kupu Kupu dan meletakkan hak cipta bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

"Sebelum ini saya bukan jenis yang cenderung berniaga, namun timbul idea untuk mengeluarkannya apabila ramai peminat sering bertanya gincu yang sering digayakan. Saya memang cerewet memilih pewarna bibir kerana hanya memakai jenis matte rona merah," katanya.

Pelakon filem Munafik itu berkata, dia merancang mengadakan majlis santai bersama peminat bagi mendapatkan maklum balas berhubung Kupu Kupu tetapi belum memperincikan lagi acara berkenaan.

Buat masa ini, katanya keluaran sulung ini membabitkan dua warna iaitu merah dan merah jambu malah istimewanya segala perincian bermula dari rona hingga pembungkusan adalah sentuhan peribadi Nabila sendiri.

"Sebenarnya pengeluaran koleksi Kupu Kupu ini akan dikeluarkan dalam edisi terhad namun kuantitinya ditambah dari semasa ke semasa. Koleksi ini bakal diperkenalkan di Singapura apabila saya menyertai suami membuka bazar Syawal di sana, hujung minggu ini," katanya lagi.

Berita Harian X