Rabu, 29 Jun 2016 | 12:17pm

Peugeot perkenal 408 e-THP serba baharu


HARGA atas jalan Peugeot 408 e-THP adalah RM143,888, termasuk insurans dan GST dan ditawarkan dalam enam warna. - Foto Saifullizan Tamadi

NASIM Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia melancarkan model yang dinanti-nantikan, Peugeot 408 e-THP serba baharu di Malaysia.

Peugeot 408 e-THP serba baharu memiliki semua sifat sedan eksekutif dengan kualiti segmen D mengatasi segmen C sedia ada untuk model dengan kejuruteraan eksklusif dan rekaan untuk meningkatkan keupayaan pemanduan itu.

"Sejak kami memperkenalkan model 408 ke pasaran Malaysia pada tahun 2012, ia menjadi antara jualan terlaris dengan 5,000 unit dijual setakat ini.

"Digabungkan dengan model 308, segmen C menyumbang purata 35 peratus kepada jualan tahunan," kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George.

Dengan gaya versatil dan fungsi mudah guna, Peugeot 408 e-THP akan menarik perhatian deria sesiapa saja, yang mana ia mencerminkan karisma sinonimnya.

Samson berkata, pihaknya turut menyasarkan jualan model itu mencecah 60 hingga 80 unit sebulan pada tahun ini berikutan persekitaran ekonomi semasa.

"Pasaran bagi jualan kereta agak suram ketika ini dan kita sendiri tidak mahu terlalu optimis berikutan (pola) perbelanjaan pengguna sudah berubah," katanya pada majlis pelancaran Peugeot 408 e-THP, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menggabungkan pemanduan dinamik dan kecekapan yang dipertingkatkan, kereta berkenaan dilengkapi Efficient Modular Platform 2 (EMP2) generasi terbaharu yang dibangunkan PSA Peugeot Citroen Group.

Ia antara lainnya memberi kelebihan dari segi pengurangan berat sehingga 140 kilogram, pusat graviti lebih rendah, keseimbangan yang dipertingkatkan serta komponen teknikal yang lebih ringan.

Ciri dalamannya pula memaparkan i-Cockpit (kokpit) Peugeot yang merangkumi empat komponen integrasi iaitu stereng kulit sport serba kompak, panel instrumen dan konsol lebih tinggi serta skrin sentuh Definisi Tinggi (HD)pelbagai fungsi bersaiz 9.7 inci.

Kenderaan itu turut dipacu enjin kembar turbo bertekanan tinggi (THP) 1.6 liter yang menjana output kuasa kilas 167PS dan 245Nm, kotak gear automatik enam kelajuan yang dilengkapi teknologi quickshift dan penggunaan tenaga sebanyak 6.5 liter bagi setiap 100 kilometer.

Harga atas jalan Peugeot 408 e-THP adalah RM143,888, termasuk insurans dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan ditawarkan dalam enam warna termasuk Aluminium, putih Alpine, merah Lucifer, hitam Premium, kelabu Aster dan biru Bourrasque.

INFO Peugeot 408 e-THP

  • Enjin 1.6-litre THP dengan 167 PS dan kilasan 245 Nm.
  • Cekap bahan api pada 6.5-liter bagi setiap 100 kilometer
  • lampu LED teknologi penuh
  • Rim aloi 'Rubis' 17-inci dua tona warna ringan
  • Efficient Modular Platform 2 (EMP2) baharu
  • Konsol tengah lebih tinggi dengan skrin sesentuh pelbagai guna HD 9.7 inci
  • Tempat duduk kulit hitam premium
  • Enam pembesar suara High Fidelity Arkamys
  • Sambungan digital penuh dengan USB dan Bluetooth
  • Brek parkir elektrik automatik
  • Kamera mengundur bersepadu
  • Smart Park Assist II
  • Enam beg udara
  • Electronic Stability Program (ESP) dengan Anti-Lock Braking System (ABS)
  • Electronic Brake Distribution (EBD)
  • Emergency Brake Assist (EBA)
  • Anti-Skid Regulation (ASR)
  • Dynamic Stability Control (DSC)
  • Hill Start Assist
  • Tiga set ISOFIX
  • Blind Spot Information System (BLISS)
Berita Harian X