Rabu, 29 Jun 2016 | 10:30am

Vaksin Zika berkesan dalam ujian terhadap tikus

p

PARIS: Penyelidikan baharu dalam makmal haiwan, termasuk vaksin Zika yang berjaya diuji ke atas tikus, meningkatkan harapan menghasilkan suntikan yang dapat melindungi manusia daripada virus itu yang merosakkan otak.

Dua prototaip vaksin yang diuji ke atas tikus makmal 'menunjukkan perlindungan sepenuhnya terhadap virus Zika,' dengan cuma satu suntikan, kata pasukan penyelidik.

"Hasil kajian itu pasti meningkatkan optimisme penghasilan vaksin yang selamat dan berkesan terhadap virus Zika bagi manusia mungkin berjaya," kata pengarah Pusat bagi Virologi dan Penyelidikan Vaksin di Sekolah Perubatan Harvard, Dan Barouch.

Keyakinan beliau disuarakan juga dalam kajian berasingan mengenai jangkitan Zika pada rhesus macaques, yang mempunyai genetik rapat dengan manusia dan model haiwan paling sesuai untuk ujian perubatan.

Dalam kajian disiarkan Nature Communications, pasukan Amerika Syarikat itu berkata, mereka berjaya buat kali pertama menjangkitkan monyet makmal dengan virus Zika.

Mereka mendapati, jangkitan tunggal, terutama yang bebas gejala seperti pada manusia, memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap pendedahan Zika.

"Ini adalah kunci kajian kerana ia bermakna vaksin berkesan menentang virus itu.

"Ia juga menunjukkan orang ramai yang dijangkiti Zika tidak terdedah kepada jangkitan pada masa depan, sebagai contoh ketika hamil," katanya. - Agensi

Berita Harian X