Rabu, 29 Jun 2016 | 12:27am
MISIAH memeriksa bekalan kerepek bagi memastikan kualiti terjaga. - Foto Shaiffulazhar Misri
SEBAHAGIAN kerepek yang dijual di MK Berkat. - Foto Shaiffulazhar Misri
PEKERJA menyiapkan keropok sebelum dijual kepada pelanggan. - Foto Shaiffulazhar Misri
PEKERJA menyiapkan keropok sebelum dijual kepada pelanggan. - Foto aShaiffulazhar Misri
PARA pelanggan yang datang mempunyai banyak pilihan yang ada di sini di Azhar Food Supplier. - Foto Shaiffulazhar Misri
ABU Bakar Ibrahim (kiri) menunjukkan bekalan kerepek yang akan dibawa pulang ke Rompin, Pahang untuk dijual. - Foto Shaiffulazhar Misri

Batu Pahat pusat kerepek dan biskut raya

BATU PAHAT: Setiap kali menjelang Aidilfitri, kudapan seperti kerepek ubi, kerepek pisang, kerepek bawang dan rempeyek antara hidangan kegemaran ramai yang dicari bagi dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung.

Itu belum lagi dereten kuih seperti samperit, tat nanas, bangkit sehinggalah pelbagai biskut raya moden yang saban tahun memenuhi bazar Aidilfitri mahu pun pusat jualan di seluruh negara.

Namun tidak ramai yang tahu, lebih 60 peratus kerepek serta biskut raya yang dijual serta dipasarkan di setiap pelusuk negara ini sebenarnya dihasilkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpusat di daerah ini.

Kewujudan puluhan pusat jualan PKS yang mengusahakan perusahaan membuat pelbagai jenis kerepek dan biskut raya yang wujud sejak lebih sedekad lalu di sini menyebabkan daerah ini bertukar seperti pesta setiap kali menjelang Aidilfitri.

Seawal minggu pertama Ramadan lagi, puluhan bas pesiaran sewa khas dengan ratusan usahawan kecil sejauh dari Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Perak sehinggalah Singapura, memenuhi pusat jualan PKS di serata daerah ini bagi mendapatkan stok kerepek dan biskut raya.

Itu tidak termasuk puluhan lori besar bagi menghantar bekalan kerepek dan biskut raya ke ejen jualan serta bazar Aidilfitri di seluruh negara.


PEMILIK Azhar Food Supplier, Mariam Boon turut membantu pekerjanya dalam menyusun atur produk makanan yang dipamerkan di Azhar Food Supplier. - Foto Shaiffulazhar Misri

PEMILIK Azhar Food Supplier, Mariam Boon,50 . - Foto Shaiffulazhar Misri

Bagi pemilik dan Pengarah Urusan Azhar Food Supplier, Mariam Boon, 50, yang memiliki antara pusat jualan PKS terbesar di sini, kilang perusahaannya memproses sehingga 1,000 tan pelbagai jenis kerepek terutama kerepek ubi bagi memenuhi permintaan pengedar, ejen, usahawan kecil dan pengguna di seluruh negara sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini.

"Sebelum Ramadan lagi ratusan pengedar serta ejen di seluruh negara sudah membuat tempahan untuk Aidilfitri dan menjelang minggu pertama Ramadan, tempahan sudah kami tutup.

"Itu belum lagi tempahan usahawan kecil dari Kelantan sehinggalah Singapura yang datang sendiri ke sini bagi mendapatkan kerepek dan biskut raya dengan menaiki puluhan bas pesiaran sewa khas sehingga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu dipanggil bagi mengawal lalu lintas," katanya kepada BH.

Sementara itu, Pemilik MK Berkat Enterprise, Misiah Kasim, 52, syarikat PKS yang menghasilkan lebih 50 jenis kerepek untuk pasaran seluruh negara berkata, kilangnya menghasilkan lebih 500 tan kerepek bagi memenuhi permintaan pada Aidilfitri kali ini.

"Sebanyak kira-kira 565 kilogram (kg) ubi kayu yang yang ditanam pembekal kami di Masai, Johor, dibawa ke sini bagi menghasilkan kerepek bagi pasaran Aidilfitri nanti.


Misiah (tengah) bersama suaminya, Asmon Sadio (kanan) menunjukkan kerepek yang sentiasa mendapat permintaan pelanggan. - Foto Shaiffulazhar Misri

PEMILIK MK Berkat Enterprise, Misiah Kasim. - Foto Shaiffulazhar Misri

"Selain pelbagai jenis kerepek ubi, keledek, bayam dan rempeyek kami turut mengeluarkan kuih siput menggunakan mesin yang mampu menghasilkan 300 kg dalam masa setengah hari dan dihasilkan sepanjang Ramadan ini.

"Ia semua bagi memenuhi tempahan pembekal, pengedar serta pelanggan kami yang datang dari seluruh negara, malah kami turut menghantar kerepek dihasilkan ke Sabah dan Sarawak atas permintaan ejen di sana," katanya.

Sementara itu, pengedar serta ejen kuih yang ditemui mengakui kerepek dan biskut raya buatan daerah ini mendapat permintaan tinggi pengguna berikutan kualiti serta harga kompetitif berbanding pengusaha di tempat lain.

Abu Bakar Ibrahim, 44, pembekal kerepek dan biskut raya dari Rompin Pahang, berkata beliau memandu sendiri selama hampir empat jam ke Parit Raja bagi melihat dan memilih sendiri kerepek dan biskut raya dihasilkan pengusaha untuk dipasarkan di kawasan Rompin.

"Sepanjang Ramadan, hampir enam kali saya berulang alik ke sini bersama lori dan van sewa khas bagi mendapatkan stok baharu untuk pasaran Rompin dan kawasan sekitar Pahang.

"Sudah lebih enam tahun saya mendapatkan kerepek dan biskut raya dari Batu Pahat dan majoriti kesemua pelanggan saya berpuas hati dengan kualiti, rasa serta harga yang ditawarkan," katanya.


BISKUT juga turut dijual dengan harga berpatutan. - Foto Shaiffulazhar Misri

Sementara itu, Mariati Haron, 44, usahawan dari Kedah berkata, beliau mengambil stok kerepek dan biskut raya bernilai lebih RM36,000 dari pengusaha PKS di sekitar Batu Pahat.

"Kerepek dan biskut raya dihasilkan pengusaha PKS di sini sudah mempunyai pengikut dan penggemar tersendiri, malah pelanggan saya tidak mahu membeli jika mereka tahu saya menjual produk bukan dari Batu Pahat.

"Apa yang saya lihat, pengusaha PKS di sini bukan sahaja bersungguh-sungguh menghasilkan produk bermutu malah saya sendiri amat bangga kerana hampir 95 peratus adalah pengusaha wanita yang berjaya menggubah hidup mereka dan keluarga dengan menghasilkan kerepek dan biskut raya.

"Lebih 90 peratus pembekal, pengedar serta usahawan kecil yang membuat bisnes kerepek dan biskut raya yang diambil dari pengusaha di sini juga wanita. Bagi saya bisnes ini seperti ini memperkasakan ekonomi wanita dan keluarga mereka," katanya.

 


PELANGGAN yang datang mempunyai banyak pilihan di Azhar Food Supplier. - Foto Shaiffulazhar Misri

FAKTA:

  • 95 peratus pengusaha PKS membabitkan perusahaan kerepek dan biskut raja di Batu Pahat dimonopoli wanita
  • 90 peratus pembekal, ejen dan usahawan perusahaan kerepek dan biskut raya juga adalah wanita

 

Berita Harian X