Selasa, 28 Jun 2016 | 7:07pm

Bayar zakat guna wang ringgit lebih praktikal


Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional cawangan Kedah, Rohai Zahar Nedi beramah mesra bersama anak-anak yatim dalam program 'Mai Pilih Baju Raya' anjuran JPNIN Kedah. Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

ALOR SETAR: Pembayaran zakat fitrah dalam bentuk wang ringgit dilihat lebih praktikal kepada golongan asnaf pada masa kini, berbanding menggunakan makanan ruji terutama beras.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri, Rohai Zahar Nedi, berkata zakat fitrah bertujuan memastikan setiap penerima khususnya asnaf atau fakir miskin mendapat makanan yang mencukupi, namun realiti pembayaran melalui makanan ruji atau beras semata-mata membuatkan golongan asnaf tidak dapat merasai keperluan hidup lain.

"Kita ambil contoh apa yang berlaku kepada mangsa banjir di Kelantan beberapa tahun lalu. Beras yang diterima mangsa terpaksa dijual kembali untuk mendapatkan wang bagi membeli keperluan lain.

"Mungkin sesetengah asnaf sudah mempunyai bekalan beras, namun masih tidak memperoleh keperluan asasi lain untuk meneruskan kehidupan.

"Tidakkah ianya menyusahkan asnaf apabila terpaksa menjual kembali beras yang diperoleh untuk membeli keperluan lain seperti minuman, ubat, pakaian, sewa rumah dan sebagainya?" katanya ketika ditemui pada program 'Mai Pilih Baju Raya' di Pasaraya Mydin di Taman Saga, di sini.

Pada majlis itu, seramai 98 anak yatim dan fakir miskin dari tiga pusat jagaan iaitu Pusat Jagaan Baitul Mahabbah Al-Hasyimi, Rumah Jagaan Insan Kesayanganku dan Pusat Jagaan Permata Harmoni, diraikan dan diberi peluang memilih sendiri baju raya.

Berita Harian X