Khamis, 23 Jun 2016 | 4:11pm

Rossa, kekasih suka haruman sama


ROSSA bersama wangiannya.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Rossa, tidak ketinggalan mengikut 'trend' popular semasa apabila tampil dengan produk minyak wanginya sendiri.

Bagaimanapun, penyanyi Ayat-Ayat Cinta itu melakar sejarah peribadi apabila menjadi artis luar negara pertama mempunyai wangian sendiri di Malaysia.

Katanya, haruman diberi nama Rossa Eau De Parfum itu mempunyai tiga variasi iaitu Beautiful, Lahfah serta La Vi En dan ia akan dilancarkan esok bertempat di Bazar Mood Republik, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Rossa berkata, beliau memang sudah lama mengimpikan untuk mempunyai minyak wangi berjenama sendiri.

Lebih menggembirakannya apabila beliau turut mempunyai jenama wangian di Indonesia, dengan tiga variasi iaitu My Love, My Music dan My Life.

"Ia diambil daripada judul album saya sebelum ini. Pewangi ini belum dilancarkan kerana saya terlebih dulu ingin menumpukan perhatian terhadap wangian di Malaysia.

"Sebelum ini, memang ada pihak yang mahu bekerjasama dengan saya untuk menghasilkan pewangi, tetapi mereka hanya mahu menggunakan nama saya semata-mata. Sedangkan, saya lebih selesa jika saya terbabit secara langsung ketika pembikinannya.

"Bagi projek dijalankan secara usaha sama dengan Sweet Magika Malaysia ini, saya terbabit dalam semua proses pengeluarannya, bermula dengan mencipta formula wangian sehinggalah pemilihan botol dan pembungkusan," katanya kepada BH Online.

Secara peribadi, Rossa berkata, beliau menggemari haruman Beautiful, yang disifatkan sebagai gambaran dirinya yang sebenar.

"Teman lelaki saya juga menggemari bauan Beautiful. Ternyata kami mempunyai cita rasa sama," ujarnya sambil tertawa.

Penyanyi berusia 37 tahun ini juga akan meluangkan masa untuk bertemu peminat di gerai produk berkenaan selepas majlis pelancarannya berkenaan berakhir.

Berita Harian X