Isnin, 10 November 2014 | 4:08pm

Affin Hwang unjur KDNK Malaysia 5.8 peratus 2014

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Investment Bank mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 5.8 peratus tahun ini sejajar pengukuhan eskport, lebih tinggi berbanding 4.7 peratus pada 2013.

Mengikut firma penyelidikan itu, eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia, juga diunjur pulih kepada 5.0 peratus pada 2014 dan kekal pada kadar sama bagi 2015.

"Jika persekitaran luaran terus pulih pada bulan-bulan mendatang, kalangan pengeluar global berkemungkinan memperoleh lebih banyak input ekonomi ASEAN dan seterusnya menyokong pertumbuhan negara ini," katanya dalam satu nota, hari ini.

Bagi 2015, pertumbuhan sebenar KDNK Malaysia diunjur pada kadar 5.3 peratus.

Mengenai perdagangan, Affin Hwang mengunjurkannya dalam lebihan hingga RM80 bilion tahun ini berbanding RM71.3 bilion pada 2013.

Lebihan akaun semasa bagi keseimbangan pembayaran juga diunjur pulih antara RM50 bilion dan RM55 bilion tahun ini berbanding RM39.9 bilion, tahun lalu.

Dalam pada itu, HLIB Research pula mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang pada 6.0 peratus tahun ini.

"Berikutan unjuran ekonomi global yang lebih berhati-hati, ekonomi dalam negara kehilangan sedikit rangsangan dan mengehadkan risiko kepada inflasi berasaskan permintaan tahun depan.

"Kami turut mengunjurkan Bank Negara akan terus mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus sepanjang 2015 selepas tidak membuat sebarang perubahan, Khamis lalu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X