Khamis, 23 Jun 2016 | 12:34am

India lancar 20 satelit dalam satu misi


INDIA berjaya melancarkan sebuah roket yang membawa 20 satelit semalam

SRIHARIKOTA: India berjaya melancarkan sebuah roket yang membawa 20 satelit semalam, mencatatkan rekod kebangsaan baharu negara itu.

Kejayaan pelancaran itu meletakkan agensi angkasa India yang terkenal dengan masalah kekurangan bajet untuk merebut sebahagian besar daripada pasaran komersial angkasa yang lumayan.

Roket itu dilancarkan dari pelabuhan angkasa di Sriharikota dengan membawa satelit daripada Amerika Syarikat, Jerman, Kanada dan Indonesia, iaitu jumlah satelit paling banyak dalam satu misi angkasa India.

Kebanyakan satelit itu bagi memantau dan mengukur atmosfera Bumi manakala yang lain bagi perkhidmatan pengendali radio amatur.

"Setiap objek kecil yang kamu letakkan di angkasa akan melakukan aktiviti tersendiri dan masing-masing akan bertahan untuk tempoh tertentu," kata Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO), A S Kiran Kumar.

Aktiviti melancarkan satelit komersial ke angkasa semakin berkembang ketika pasaran telefon, internet dan syarikat lain serta negara mahukan komunikasi lebih meluas dan canggih.

India bersaing dengan peserta antarabangsa lain untuk meraih bahagian lebih besar dalam pasaran pelancaran satelit dan terkenal dengan program angkasa pada kos rendah.

Antara 20 satelit yang dilancarkan semalam, 13 adalah daripada Amerika Syarikat, termasuk satu daripada syarikat milik Google dan dua daripada universiti di India.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan pelancaran itu sebagai satu pencapaian besar walaupun ia berada di belakang Russia yang melancarkan 33 satelit serentak pada 2014 dan NASA sebanyak 29 satelit serentak setahun yang lalu.

"Program angkasa kami berulang kali menunjukkan potensi transformasi sains dan teknologi dalam kehidupan manusia," kata Modi menerusi akan Twitter beliau. - AFP

Berita Harian X