Khamis, 23 Jun 2016 | 12:02am

Antologi Daun Paku Ungu beri kesan kepada pembaca


DAUN Paku Muda tulisan Norliza Baharom.

SEBUAH karya yang baik bukan saja mempunyai idea segar atau olahan menarik, bahkan bahasa yang indah dan meninggalkan kesan di hati pembaca. Antologi cerpen sains fiksyen dan fantasi, Daun Paku Ungu misalnya memiliki pelbagai rangkuman itu justeru dihasilkan oleh 20 penulis dengan latar berbeza.

Perlu diakui, terlalu klise membaca genre sains fiksyen yang mengangkat kisah peperangan di angkasa lepas, seribu satu persengketaan dalam sistem cakerawala atau pengembaraan masa seperti dipaparkan dalam beberapa cerpennya.

Mujur kehambaran itu ditutup dengan deretan cerpen lain sangat baik misalnya kajian perubatan dan persenjataan, selain teknologi masa hadapan.

Gaya bahasa ringkas

Daun Paku Muda tulisan Norliza Baharom yang menjadi tajuk antologi ini adalah antara cerpen menarik. Gaya bahasa ringkas tetapi indah menjentik kesegaran untuk menceritakan Marisah yang menjadi musafir mimpi di dimensi lain.

Meskipun banyak cerpen menceritakan mimpi, tulisan Norliza ini penuh kejutan dan mengumpan perhatian. Mungkin karya ini akan menjadi lebih menarik apabila disudahkan sepenuhnya kerana khabarnya ia petikan novel yang diusahakan.

Hafizul Osman menerusi Kronikel Rikhishi bijak mengimbangi antara fiksyen dengan realiti. Meskipun genre ini membolehkan apa saja dinukilkan, Hafizul akhirnya 'memulangkan' Razlan yang dibawa dari masa silam untuk memulihkan pertikaian masa hadapan atas sebab tidak mahu melangkaui kuasa Tuhan.

Tulisan John Norafizan juga ternyata menjentik perasaan. Elemen kasih sayang, kesedihan dan emosi yang tidak menentu selepas kematian suami menjadikan watak utamanya Zareen Sofea meruntun simpati. Bagaimana suami yang meninggal dunia dan sudah dikebumikan tiba-tiba kembali?

Idea John Norafizan dalam cerpen Selari bukan saja segar, bahkan menjadikan kita tertanya-tanya wujudkah kemungkinan itu.

Elemen sains

Cardiovac Daripada Dia karya Ijazati Habib sebenarnya kisah yang manis. Elemen sainsnya hanya sepintas, selebihnya adalah unsur popular seperti kebanyakan novel laris di pasaran hari ini, tetapi idea Ijazati sangat menarik jika dikembangkan sebagai novel.

Bukan semua pembaca mampu menekuni genre sebegini dan bukan semua penulis mampu menghasilkan karya genre sains fiksyen dan fantasi. Justeru, tahniah untuk 22 penulis yang bergabung dalam antologi ini.

Berita Harian X