Ahad, 19 Jun 2016 | 12:00am

Nama tercicir kerana 'memberontak'?


Dr Fatimah dikenali sebagai penulis lantang bersuara bukan sahaja di dalam karya, bahkan di luar karya.

DR Fatimah Busu antara pengarang wanita berpengaruh di negara ini dan menerima pelbagai pengiktirafan sastera selain karyanya diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Vietnam dan Perancis.

Fatimah dianggap penulis yang lantang bersuara. Wartawan Sastera & Budaya BH, HAFIZAH ISZAHANID menemubual Fatimah berhubung isu itu.

Soalan: Dr Fatimah dikenali sebagai penulis lantang bersuara bukan sahaja di dalam karya, bahkan di luar karya tetapi kelantangan itu kerap dilihat sebagai memberontak.

Jawapan: Ya, saya bersetuju 100 peratus, saya memang lantang. Tidak guna menjadi penulis jika karya ditulis tidak menyuarakan kepentingan dan kebajikan masyarakatnya. Saya lantang membela agama, bangsa dan tanah air saya. Saya suarakan apa yang tidak kena pada orang Melayu, masyarakat, politik dan sosialnya.

Misalnya cerpen Majlis Raya Merdeka Wak Long Pak Dogol yang dimuatkan dalam Kumpulan Cerpen Aduhai, saya mengkritik habis-habisan orang Melayu yang tidak mengambil berat anak dan masyarakat sekeliling.

Orang lain sudah memajukan diri, tetapi orang Melayu masih berlegar dengan isu rempit dan dadah. Nasib orang Melayu makin terpinggir dan terhakis di Pulau Pinang juga mencuit nurani, menyaksikan terhasilnya cerpen Tanah Segara Bukit Itu.

Orang lain mungkin tidak berminat dengan isu sedemikian tetapi saya perlu tulis kerana saya tidak menulis untuk nama atau darjat, sebaliknya untuk memberi kesedaran dan keredaan Tuhan.

Bahasa Melayu juga selalu menjadi isu dalam karya saya, lihatlah kedudukan bahasa kebangsaan kita hari ini. Mengapa mesti bahasa Inggeris perlahan-lahan menguasai? Perkataan seperti MyKad dan MyKid tidak bolehkah guna perkataan bahasa Melayu, iaitu kadku dan anakku? Saya bimbang suatu hari nanti, nasib bahasa Melayu akan berakhir di muzium!

S: Meskipun lantang bersuara dalam karya dan tekal berkarya, hingga kini nama Dr Fatimah kerap tercicir sebagai penerima pengiktirafan Anugerah Sastera Negara (ASN) dan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write)?

J: Saya tidak tahu hal itu. Jujurnya dari segi karya, saya fikir sudah cukup layak. Karya saya diterjemahkan ke bahasa asing sejak dekad 1970-an lagi. Bukan sahaja diterbitkan di negara ini untuk siaran akhbar berbahasa Cina dan Tamil, bahkan termuat dalam antologi antarabangsa misalnya pada 1988, karya saya

diterjemah ke bahasa Belanda, manakala pada dekad 1990-an, beberapa cerpen saya diterjemahkan ke bahasa Mandarin, Vietnam, Inggeris dan Perancis. Sepanjang berkarya, saya juga memenangi puluhan hadiah sastera.

Bagaimanapun, belum rezeki saya untuk mendapat pengiktirafan seperti ASN dan SEA Write. Tidak mengapa, tidak menang pun tidak apalah.

S: Selain Dr Fatimah, Malaysia mempunyai ramai pengarang wanita berbakat besar, tetapi mengapa hanya sesudah 35 tahun, barulah ada pengarang wanita diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN)?

J: Memang Malaysia mempunyai ramai pengarang wanita hebat. Zaharah Nawawi, Khadijah Hashim dan Prof Dr Siti Zainon Ismail antara yang hebat. Karya mereka juga diterjemah ke banyak bahasa. Untuk mengatakan mereka masih berkarya dalam zon selesa, itu tidak benar.

Anugerah tulisan Zaharah Nawawi menuliskan politik. Saya sendiri banyak menulis hal di luar zon selesa. Aduhai misalnya sarat dengan isu politik. Jadi, persoalan karya pengarang wanita tidak setanding karya lelaki itu tidak benar.

Kemungkinan lain yang perlu dilihat, dunia sastera Malaysia dikuasai pengarang lelaki dan mereka tidak berminat hendak membaca karya pengarang wanita. Kalau mereka baca, tentu tahu ada pengarang wanita yang karyanya jauh lebih baik daripada penulis lelaki.

Dalam soal ASN juga, saya mahu ulas penggiliran. Kebelakangan ini, sudah berturut-turut penyair dinobat sebagai SN. Apakah kita kekurangan pengarang prosa yang baik hinggakan tiada penggiliran lagi?

S: Bagaimanakah Dr Fatimah melihat senario penulis muda wanita hari ini?

J: Saya mohon penulis wanita jangan tulis karya yang mengajak orang melakukan kemungkaran dan maksiat. Tulislah persoalan membina masyarakat tentang sejarah, bangsa, bahasa, agama dan negara. Elakkan menulis perkara merangsang orang berbuat jahat.

Jangan menulis kisah cinta yang berlebih-lebihan, terutama jika tidak membantu membina masyarakat. Walaupun ia lebih laris tetapi ingat, sebaik-baik manusia, mereka yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain.

INFO Fatimah Busu

  • Dilahirkan pada Januari 1943.
  • Berasal dari Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu.
  • Menyambung pengajian di Maktab Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka.
  • Berkhidmat sebagai guru untuk beberapa tahun. Pada 1970-an, meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM).
  • Memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (1978) dan Doktor Falsafah (1994) di universiti yang sama. Beliau bertugas sebagai pensyarah sehingga bersara pada 1998.
  • Antara karya: Kumpulan cerpen Lambaian Tanah Hijau (1980) dan Yang Abadi (1980); novel Ombak Bukan Biru serta Kepulangan, selain buku Ciri-ciri Satira dalam Novel Melayu dan Afrika Moden: Kajian Perbandingan (1992).
  • Pencapaian Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia pada 1970-an dan 1980-an serta Anugerah Sastera Negeri Kelantan (ASNK) 2015.
Berita Harian X