Jumaat, 17 Jun 2016 | 7:39am
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi ucap tama di majlis pelancaran Laporan Produktiviti 2015/2016 Malaysia Productivity and Innovation Class (MPIC) di Menara MITI. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Produktiviti buruh Malaysia meningkat 3.3 peratus

KUALA LUMPUR: Produktiviti buruh Malaysia meningkat 3.3 peratus kepada RM74,538 setiap jam buruh tahun lalu daripada RM73,091 pada 2014, dan berpotensi mencapai pertumbuhan 3.7 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang seperti disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata keyakinan itu berdasarkan kepada pertumbuhan kukuh produktiviti industri yang direkodkan dalam beberapa sektor utama seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

"Untuk merealisasikan segera potensi produktiviti penuh, sektor perniagaan Malaysia perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi baharu, selain mengguna pakai inovasi terkini ICT, mesin dan peralatan serta mewujudkan peluang untuk peluasan eksport," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Laporan Produktiviti 2015/2016 yang diterbitkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini.

Mustapa berkata, laporan itu menekankan pentingnya potensi produktiviti ditingkatkan lagi di Malaysia ke arah mencapai sasaran global.

Katanya, antara strateginya ialah memperjuangkan produktiviti dan daya saing dengan memupuk tenaga kerja yang cekap, inovatif dan berkemahiran, memanfaatkan penyelidikan dan inovasi, serta meningkatkan daya saing pasaran.

"Laporan itu mengetengahkan pertumbuhan keusahawanan perlu diperkukuh dengan meningkatkan kemahiran dan pendidikan ke arah kecemerlangan operasi yang lebih besar di sepanjang rantaian nilai," katanya.

Mustapa juga berkata, kerajaan sedang menggubal pelan tindakan produktiviti, yang dijangkakan siap pada Ogos.

Katanya, pelan tindakan itu akan mengkaji 10 sektor yang mencatat paras produktiviti yang rendah, namun memainkan peranan yang penting dalam ekonomi, seperti pelancongan dan peruncitan.

Beliau berkata, satu lagi faktor yang mempengaruhi tahap produktiviti ialah prestasi ekonomi negara secara menyeluruh.

"Apabila pertumbuhan keluaran dalam negara kasar negara sederhana, tahap produktiviti turut menyusut. Namun, ia boleh diimbangi dengan melaksanakan automasi dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X