Jumaat, 17 Jun 2016 | 7:34am

Malaysia hab halal global Nestle


PENGARAH Urusan Nestle Malaysia, Alois Hofbauer. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

PETALING JAYA: Status Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Halal Global membantu Nestle (Malaysia) Bhd menjadi hab halal antarabangsa syarikat multinasional itu serta pusat rujukan utama dalam segala aspek membabitkan halal.

Pengarah Urusan Nestle Malaysia, Alois Hofbauer, berkata dengan status Malaysia itu membolehkan syarikat berperanan menawarkan panduan dasar, pengetahuan dan kepakaran mengenai halal untuk pasaran lain Nestle di seluruh dunia.

Beliau berkata, Nestle Malaysia juga sudah menjadikannya dasar untuk memastikan semua produk keluarannya mematuhi segala aspek mengenai pensijilan halal.

"Nestle amat bertuah dan bernasib baik dengan status Malaysia sebagai hab halal dan hari ini pensijilan Halal Malaysia amat bernilai serta diperakui di seluruh dunia.

"Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia untuk itu dan ia juga faktor yang menjadikan Nestle Malaysia sebagai hab halal untuk Nestle di seluruh dunia sehingga ke hari ini," katanya dalam temubual bersama akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd di sini, baru-baru ini.

Hofbauer berkata, bagi memastikan produk keluarannya mematuhi segala aspek mengenai pensijilan halal, syarikat turut mengadakan kerjasama dengan pembekal tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam membangun dan meningkatkan keupayaan mereka dalam industri F&B halal.

Katanya, syarikat multinasional seperti Nestle amat memerlukan pembekal tempatan khususnya bahan ramuan bagi mendapat harga berpatutan dengan mengambil kira kualiti, kuantiti dan tempoh penghantaran lebih cepat.

"Kami bukan saja memastikan produk kami adalah halal, tetapi kami turut bekerjasama dengan syarikat PKS yang menjadi pembekal mematuhi dan memahami keperluan pensijilan halal," katanya.

Mendedahkan kejayaan Nestle bertapak lebih 100 tahun di Malaysia, Hofbauer berkata, perkara paling penting apabila mengambil kira perniagaan syarikat F&B antarabangsa seperti Nestle ialah faktor tempatan.

Katanya, walaupun Nestle memiliki pelbagai produk, perniagaan makanan adalah lebih bersifat tempatan dan syarikat amat menyedari serta mementingkan faktor itu, termasuk menggunakan sepenuhnya pekerja tempatan di kilangnya.

"Walaupun Nestle syarikat berasal dari Switzerland, tanggapan sesetengah pengguna tidak seperti itu hinggakan jika ada yang bertanya mengenai Milo kepada rakyat Malaysia, sebahagian mereka percaya minuman itu jenama Malaysia, sama seperti sesetengah pengguna yang percaya Maggi adalah jenama Malaysia.

"Contoh mi segera Maggi, kami ada perisa yang berbeza untuk di Semenanjung dan di Sabah dan Sarawak. Ini mungkin menyentuh aspek lebih mendalam dalam falsafah perniagaan, apa juga yang anda buat, anda perlu hormati serta ketengahkan budaya tempatan. Itu antara resipi kejayaan Nestle bertapak lebih 100 tahun di Malaysia," katanya.

Berita Harian X