Khamis, 16 Jun 2016 | 11:20pm

Tourism Malaysia Pahang anjur pertandingan fotografi

KUANTAN: Hadiah menarik baucer percutian ke destinasi pelancongan domestik menanti pemenang pertandingan fotografi bertemakan `Iftar Ramadan Pahang 2016' anjuran Tourism Malaysia Pahang yang berakhir pada 26 Jun ini.

Pertandingan bertujuan memperkenalkan makanan dan minuman, kafe, restoran, kedai serta lokasi menarik untuk berbuka puasa di sekitar Pahang itu terbuka kepada orang ramai dan ia dibahagi kepada dua kategori menggunakan telefon pintar (smartphone) dan kamera DSLR.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Mohd Faharuddin Hatmin, berkata orang ramai boleh memuatnaik seberapa banyak gambar bertemakan `Iftar Ramadan 2016' di seluruh daerah Pahang yang menampilkan kreativiti fotografi dalam suasana keceriaan bulan yang mulai ini.

Beliau berkata, antara kriteria yang diberi perhatian dalam pertandingan itu ialah mesej dan objektif yang dapat membantu mempromosi makanan dan destinasi menarik di Pahang serta kreativiti gambar berkenaan.

"Makanan dan destinasi pelancongan adalah dua perkara yang menarik minat pelancong dalam atau luar negeri untuk berkunjung ke Pahang dan orang ramai di seluruh daerah boleh membantu kita menerusi pertandingan sebegini.

"Kita menyediakan hadiah baucer percutian bernilai kira-kira RM1,500 untuk juara bagi setiap kategori manakala naib juara pula mendapat baucer penginapan," katanya ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Faharuddin juga berkata, semua gambar yang dihantar untuk menyertai pertandingan itu perlu disertakan tag @tourismmalaysiapahang atau #tmpahang dan #pahangdekatje.

"Bagi kategori telefon pintar, orang ramai perlu memuatnaik gambar yang terang dan berkualiti manakala kategori kamera DSLR pula mereka perlu menghantar gambar bersaiz minima 2MB serta butiran nama penuh, alamat dan nombor telefon dan emel kepada norlaila@tourism.gov.my.

"Keputusan pemenang akan diumumkan pada 29 Jun ini iaitu tiga hari selepas tarikh tutup penyertaan dan gambar pemenang akan dipaparkan di laman rasmi Facebook dan Instagram Tourism Malaysia Pahang dan ia juga menjadi hak milik agensi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu juga bertujuan mengaktifkan Instagram dan Facebook agensi itu bagi mempromosi Tahun Melawat Pahang 2017.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan fotografi sempena Ramadan 2016 itu boleh menghubungi Mohd Hafiz Mohd Shah (0177314051) dan Norlaila Yahya Haris (0126213286).

Berita Harian X