Khamis, 16 Jun 2016 | 1:31pm

Bau busuk Sungai Budor ganggu penduduk


Sungai Pengkalan Chepa.

KOTA BHARU: Bau busuk meloyakan sepanjang tebing Sungai Budor di sini yang berpunca daripada sampah-sarap terperangkap menimbulkan keresahan dalam kalangan 100 keluarga di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Tikat, Zakaria Abdullah, berkata bau yang sudah dua tahun dihidu penduduk Kampung Sungai Budor itu mengganggu keselesaan mereka.

"Selain busuk, Sungai Budor berhampiran Sungai Pengkalan Chepa sepanjang kira-kira satu kilometer itu tidak mengalir ke laut susulan tiada sistem sempurna.

"Keadaan itu menyebabkan air bertakung, sekali gus menjadi sarang pembiakan aedes," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang penduduk, Mohd Khairuddin Zakaria, 33, berkata pihak berkuasa perlu membuang sampah-sarap yang semakin busuk dari sungai berkenaan.

"Sekarang ini bulan puasa, bau meloyakan itu mengganggu kami mengerjakan ibadat dan menguji kesabaran penduduk," katanya.

Tinjauan BH mendapati sungai itu bukan saja cetek dan dipenuhi sampah-sarap, malah airnya kehitaman kerana tidak mengalir sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Jurutera Jajahan Kota Bharu, Osman Mamat, berkata pihaknya sudah membuat tinjauan dan sampah dikesan berpunca dari kawasan ternakan itik.

"Kawasan berkenaan terletak di belakang tembok penahan banjir dan baunya memang busuk.

"JPS Jajahan Kota Bharu akan mengambil tindakan segera untuk membersih dan mencuci kawasan berkenaan," katanya.

Berita Harian X