Khamis, 16 Jun 2016 | 8:03am

Nestle komited perkukuh, perluas operasi di Malaysia


Pengarah UrusanNestle (Malaysia) Bhd, Alois Hofbauer. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

PETALING JAYA: Nestle (Malaysia) Bhd komited untuk terus mengukuh dan mengembangkan operasinya di negara ini yang disifatkan sebagai pasaran yang dinamik serta berkembang maju.

Pengarah Urusannya, Alois Hofbauer, berkata Malaysia menyediakan potensi besar untuk syarikat itu terus berkembang serta menghasilkan produk baharu, khusus untuk pasaran domestik.

Selain pasaran dinamik dan berkembang maju, Malaysia juga adalah hab pembangunan beberapa produk Nestle untuk pasaran antarabangsa yang antaranya dieksport, serta menjadi pusat rujukan untuk produk halal Nestle.

"Sejak tujuh tahun lalu, Nestle sudah melabur lebih RM1.5 bilion di Malaysia bagi pembangunan produk dan pembukaan kilang baharu, selain mengubah suai serta mempertingkatkan keupayaan kilang sedia ada," katanya dalam temubual bersama akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd di sini, baru-baru ini.

Malaysia ialah pasaran kelima terbesar untuk Nestle di Asia, dengan China dan India menduduki senarai dua teratas.

Tahun depan Nestle Malaysia yang turut tersenarai di Bursa Malaysia bakal meraikan ulang tahun ke-103 penubuhannya di negara ini. Ia memiliki lapan kilang di negara ini dengan kakitangan seramai 6,000 orang.

Malaysia juga adalah pasaran Nestle pertama yang memohon pensijilan halal untuk semua produk makanan dan minuman (F&B) yang dikeluar dan dipasarkan. Ia memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 1994

Nestle Malaysia turut mempunyai Jawatankuasa Halal yang ditubuhkan pada 1980-an, dianggotai antaranya termasuk eksekutif kanan daripada pelbagai bahagian dalam syarikat.

Ia juga adalah Pusat Kecemerlangan Halal Global bagi syarikat multinasional itu, sekali gus bermakna Nestle Malaysia berperanan menawarkan panduan dasar, pengetahuan dan kepakaran mengenai halal kepada pasaran lain Nestle di seluruh dunia.

Mengulas lanjut perniagaan Nestle di negara ini, Hofbauer berkata syarikat itu amat mementingkan inovasi terutama dalam meningkatkan pertumbuhan perniagaannya.

Sejak beberapa tahun lalu, katanya, inovasi memainkan peranan begitu besar dalam meningkatkan perniagaan Nestle Malaysia yang mana tahun lalu sahaja, hampir RM400 juta jualan dihasilkan menerusi kaedah inovasi.

"Ia adalah hampir dua setengah atau tiga kali ganda lebih tinggi berbanding sebelumnya," katanya menyambut hari lahir ke-51 hari ini.

Hofbauer yang sudah empat tahun mengemudi Nestle Malaysia, turut mendedahkan syarikat itu kini dalam proses menubuhkan sebuah hab pemerolehan global Nestle yang akan berperanan sebagai hab Asia.

Katanya, penubuhan hab itu adalah antara rancangan masa depan Nestle yang ingin menubuhkan tiga pusat pemerolehan global iaitu sebuah di ibu pejabatnya di Switzerland, sebuah di Amerika Latin, iaitu di Panama dan sebuah di Malaysia.

"Mereka bukan sahaja akan menjadikannya sebagai pusat penyumberan untuk sesuatu kawasan itu sahaja, tetapi untuk keperluan global Nestle. Ini juga bukti keyakinan Nestle terhadap negara ini, sejajar dengan pelaburan besarnya di negara ini. Malaysia ada banyak persaingan tetapi juga memiliki pelbagai kelebihan.

"Kami berupaya meyakinkan mereka (syarikat induk Nestle) bahawa Malaysia mempunyai infrastruktur yang bagus untuk dijadikan hab, selain kelebihan lain yang dimiliki seperti pendidikan dalam bahasa Inggeris yang amat perlu untuk menjadi sebuah hab antarabangsa," katanya.

  • Info: Nestle Malaysia
  • Tahun depan bakal meraikan ulang tahun ke-103 penubuhannya di Malaysia

  • Ia memiliki lapan kilang dengan 6,000 kakitangan

  • Sudah melabur lebih RM1.5 bilion

  • Disenaraikan di Bursa Malaysia

Berita Harian X