Rabu, 15 Jun 2016 | 11:44pm

3 PNK terima pampasan RM7 juta daripada SOGT


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (dua dari kanan) menyampaikan replika cek pampasan bernilai RM5 juta untuk nelayan daripada SOGT PETRONAS kepada wakil Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Papar sempena Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon Dua di Putatan. - Foto Edmund Samunting

PUTATAN: Tiga Persatuan Nelayan (PNK) menerima RM7 juta daripada Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) PETRONAS sebagai pampasan untuk nelayan yang terjejas akibat pengoperasian SOGT di Kimanis, Papar.

PNK Papar menerima RM5 juta, manakala PNK Kuala Penyu dan PNK Kota Kinabalu masing-masing menerima RM1 juta.

Penyampaian pampasan kepada wakil PNK terbabit disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sempena Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah Zon Dua di pekarangan Masjid Daerah Putatan, di sini.

Pengoperasian SOGT menyebabkan kegiatan nelayan yang menangkap ikan di perairan Teluk Kimanis, Papar terjejas berikutan larangan memasuki kawasan terbabit.

Pada majlis itu, seramai 1,440 nelayan yang bernaung di bawah PNK Kota Kinabalu turut menerima elaun sara hidup berjumlah RM274,000 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah turut menyampaikan bantuan kepada golongan warga tua, fakir miskin, mualaf dan masjid sekitar Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Sepanggar.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Ketua UMNO Putatan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor.

Majlis berbuka puasa anjuran Badan Perhubungan UMNO Sabah itu adalah yang pertama pada Ramadan kali ini sebelum disusuli zon UMNO Sabah yang lain di seluruh negeri.

Dalam ucapannya, Musa berkata majlis itu dapat memberi peluang kepada pemimpin UMNO untuk berjumpa dengan ahli di peringkat akar umbi.

"Inilah cara kita mengambil peluang dalam bulan yang penuh berkat ini. Kita akan teruskan majlis di zon lain agar hubungan di antara pemimpin dan rakyat terus terjalin erat," katanya.

Musa berkata, pendekatan itu juga membolehkan pemimpin kerajaan melihat perkembangan pembangunan di setiap kawasan termasuk perkara yang memerlukan penambahbaikan demi kepentingan rakyat.

Berita Harian X