Selasa, 14 Jun 2016 | 11:00pm

Sistem pengurusan tingkatkan pengurusan tanaman padi


GAMBAR hiasan.

SUNGAI BESAR:  Sistem Pengurusan Tanaman Padi Berteraskan Teknologi Remote Sensing bersama Sistem Maklumat Geografi (GIS) berjaya meningkatkan kualiti mutu perkhidmatan kerajaan dalam pengurusan aktiviti tanaman padi yang lebih mantap.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Madius Tangau berkata, teknologi yang diperkenalkan sejak 1980-an itu nyata membantu kerajaan menganggar hasil pengeluaran padi negara seterusnya merancang import beras negara setiap tahun yang lebih efisien.

"Sistem ini dibangunkan untuk membantu mengenalpasti kawasan berpotensi untuk tanaman padi dengan menggunakan imej satelit beresolusi tinggi. 

"Aplikasi teknologi yang berkonsepkan rendah kos dan berimpak tinggi ini dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman di Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), bukan sahaja menjimatkan peruntukan kerajaan malah menjamin keselamatan data terutama data-data bernilai strategik," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran sistem pengurusan padi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, timbalannya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Tan Sri Zainal Dahalan.

Madius turut menyampaikan insentif Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) kepada lima pesawah di daerah ini dalam majlis itu. 

Beliau berkata, penggunaan sistem berkenaan membolehkan pihaknya mendapatkan segala rekod pesawah serta memantau status tanaman padi bagi mengenalpasti lot padi yang bermasalah agar bantuan dan khidmat nasihat dapat disalurkan segera kepada petani terbabit.

Pada masa sama, katanya sistem itu juga dapat memantau status aktiviti utama penanaman padi iaitu membajak, pengairan sawah, menanam dan menuai semuanya menggunakan imej satelit remote sensing setiap 11 hari sepanjang musim. 

Sistem itu dibangunkan secara kerjasama  Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara  MOSTI melalui ARSM dan Jabatan Pertanian Malaysia serta IADA Barat Laut Selangor. 

Keluasan padi di IADA Barat Selangor adalah 19,021 hektar dengan pengeluaran padinya adalah yang tertinggi iaitu 5.9 tan per hektar berbanding jelapang-jelapang lain. 

Berita Harian X