Isnin, 13 Jun 2016 | 4:36pm

Parti Amanah Negara dakwa lebih layak tabur janji


Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Abdul Samad menjawab soalan wartawan pada Sidang Media di Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid

SUNGAI BESAR: Parti Amanah Negara menolak dakwaan mereka tidak layak membuat janji kepada pengundi di Sungai Besar kerana suara mereka mewakili Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi, Khalid Samad, berkata PH mempunyai 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Kerajaan Selangor berbanding PAS yang hanya memiliki 13 wakil rakyat.

Katanya, parti itu juga disokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan EXCO PKR serta DAP.

"Saya hairan mengapa perkara ini diungkitkan oleh (Naib Presiden PAS) Datuk Iskandar Abdul Samad kerana jika dakwaan kita tidak tepat, maka sudah tentu ia akan disanggah Menteri Besar atau EXCO PKR dan DAP.

"PAS hanya ada 13 ADUN, Kerajaan Selangor dipimpin oleh PH yang mendominasi dari segi jumlah dengan 29 ADUN. Jelaslah 29 lebih besar daripada 13, jadi kita berhak bercakap bagi pihak kerajaan negeri dan membuat janji kepada pengundi di sini," katanya pada sidang media PH, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Iskandar hari ini mempersoalkan tindakan parti serpihan PAS itu menabur janji kepada pengundi di Parlimen Sungai Besar walaupun tiada wakil dalam barisan EXCO Kerajaan Selangor.

Naib Presiden PAS itu turut menyindir dengan mengatakan jawatan paling tinggi disandang oleh ahli parti serpihan itu hanyalah Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), yang tidak mempunyai kuasa menentukan dasar pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, Khalid menyifatkan tindakan PAS mahu membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung bendera parti itu sebagai tindakan terdesak.

"Kita anggap ia sebagai isu remeh dan paling penting kita mahu menawarkan perkhidmatan kepada rakyat dan saya berasakan kedudukan PAS tidak lagi relevan dalam kedua-dua pilihan raya kecil ini," katanya.

Berita Harian X