Sabtu, 11 Jun 2016 | 2:29pm

Mydin, Nestle rai 105 anak yatim

KOTA BHARU: Seramai 105 anak yatim dari tiga rumah anak yatim di sini dan Tumpat diraikan dalam majlis berbuka puasa, anjuran Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) bersama Nestle Malaysia, di perkarangan Mydin Mall Kubang Kerian di sini, malam tadi.

Mereka adalah dari Rumah Anak Yatim Dhu Afa' Siti Aminah (23 orang) dan Madrasah Islamiah Hababul Mustafa, di Tumpat (26 orang) serta Rumah Anak Yatim Darul Kautsar, Kota Bharu (36 orang).

Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata majlis berbuka puasa ini adalah yang pertama diadakan bersama Nestle Malaysia.

"Pada majlis ini, sebanyak RM10,500 disumbangkan oleh Mydin Holdings dan Nestle bagi membiayai kos baju raya untuk menyambut Aidilfitri kepada anak yatim terbabit.

"Kami juga mengagihkan 2,000 bungkus bubur lambuk kepada pelanggan kami," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di perkarangan Mydin Mall Kubang Krian di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Pengurus Jualan Nestle Malaysia, Wan Ziauddin Haizam Harun.

Ameer berkata, pihaknya juga menjalankan kempen 'Ramadan Kindness' bertujuan membantu mereka yang hidup dalam kesusahan dengan menyumbang barang keperluan kepada mereka yang terpilih.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Pantai Timur Mydin Mall, Ruthra Pathy Naidu, berkata sejak Mydin Mall Kubang Kerian beroperasi pada 2010, pelbagai program bersama anak yatim telah dianjurkan.

"Kami akan terus menganjurkan program amal sebegini di masa hadapan bersama Nestle Malaysia termasuklah mengadakan majlis sambutan Aidilfitri bagi meraikan golongan kurang bernasib baik supaya mereka tidak berasa terpinggir dalam masyarakat," katanya.

Berita Harian X