Jumaat, 10 Jun 2016 | 9:58pm
PROTON buka bilik pameran 3S pertamanya bersama Andes Motor, pengedar eksklusifnya di Chile, bersempena pelancaran Proton Prevé di Santiago. - Foto FB Proton

Proton buka pusat pameran 3S di Chile

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd membuka bilik pameran 3S pertamanya bersama Andes Motor, pengedar eksklusif Proton di Chile, bersempena pelancaran Proton Prevé di Santiago, penghujung bulan lalu.

Pusat 3S di Irarrazaval, kira-kira 15 minit dari pusat bandar Santiago, dirasmikan Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa Proton, Mohd Khalid Yusof, bersama Pengurus Besar Andes Motor, Jorge Greene Diaz dan Pengurus Perniagaan Proton, Maximilliano Sfeir.

Majlis itu disaksikan Duta Malaysia ke Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez.

Pusat 3S itu diurus Andes Motor, anak syarikat Kumpulan Kaufmann, pengedar utama bas, lori dan kereta mewah di Chile yang mempunyai rangkaian luas dalam memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

Maximilliano berkata, pusat 3S itu penting untuk menyediakan jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan syarikat.

Beliau berkata, terdapat tiga ruangan servis di belakang bilik pameran yang boleh diperluaskan, sekiranya perlu.

"Secara keseluruhan, kawasan sebesar 350 meter persegi ini boleh memuatkan tiga hingga empat kereta untuk di servis pada satu masa, dengan empat ruang letak kereta khusus untuk pelanggan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Proton di sini, hari ini.

Di Santiago juga terdapat lima Pusat 1S lain yang terletak di Plaza beli-belah Oeste, Ayr, Technocid, Technosur dan Antivero.

Sambutan menggalakkan pada majlis pelancaran itu menyaksikan lebih 1,000 orang berkumpul untuk acara cabutan bertuah yang memberi peluang kepada seorang pemenang bertuah membawa pulang Proton Prevé baharu daripada 2,000 penyertaan yang diterima.

Teruja melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, Maximilliano berkata, pihaknya amat yakin dengan Proton Prevé.

"Media di sini telah memandu uji kereta ini dan memberikan maklum balas positif. Pemasaran di sini menjadi lebih kuat sekiranya kereta ini mampu mempengaruhi pasaran dengan mudah," katanya.

Pada masa ini, model yang akan disediakan untuk pasaran Chile ialah Prevé 1.6 MT Standard, Prevé 1.6 Executive MT dan Prevé 1.6 Premium CVT.

Berita Harian X