Khamis, 9 Jun 2016 | 3:01pm

44 usahawan KADA terima bantuan niaga


MOHD Ridzuan (tengah) menyampaikan bantuan kepada penerima sempena Majlis Penyampaian Bantuan Geran Pemadanan dan Geran Penuh Industri Asas Tani (IAT) kepada usahawan bimbingan KADA, di Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengagihkan lebih RM200,000 bantuan bagi meningkatkan pendapatan 44 peniaga kecil bimbingan agensi itu.

Bantuan itu membabitkan peralatan dan keperluan perniagaan seperti mesin pengadun kek, peti sejuk beku, mesin membuat kuih dan pelekat produk.

Ia diberi melalui empat jenis bantuan iaitu geran penuh bagi peningkatan kapasiti pengeluaran; geran penuh bagi pembungkusan dan penjenamaan; geran pemadanan bagi peningkatan keupayaan dan pengeluaran serta bantuan peserta Touch Point Parlimen Ketereh.

Pengurus Besar KADA, Mohd Ridzuan Ismail, berkata melalui bantuan itu diberi kepada peniaga terbabit mengikut bidang perniagaan masing-masing dengan had maksimum sebanyak RM10,000.

Katanya, selain itu ada juga bantuan pembelian peralatan dengan 70 peratus dibiayai kerajaan dan baki 30 peratus dibiayai peniaga.

"Mereka yang diberi bantuan ini kerana berjaya menunjukkan peningkatan produk dan perniagaan masing-masing," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Geran Pemadanan dan Geran Penuh Industri Asas Tani (IAT) kepada usahawan bimbingan KADA, di Pejabat Bahagian Industri Asas Tani KADA Kampung Padang Enggang, di sini, hari ini.


MOHD Ridzuan (kanan) melekatkan pelekat produk kepada penerima sempena Majlis Penyampaian Bantuan Geran Pemadanan dan Geran Penuh Industri Asas Tani (IAT) kepada usahawan bimbingan KADA, di Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP

MOHD Ridzuan (kanan) melekatkan pelekat produk kek pisang kepada penerima, Afizah Naini, 32, sempena Majlis Penyampaian Bantuan Geran Pemadanan dan Geran Penuh Industri Asas Tani (IAT) kepada usahawan bimbingan KADA, di Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP

Turut hadir, Pengarah Bahagian Industri Asas Tani (IAT) KADA, Ab Halim Salleh.

Mohd Ridzuan berkata, KADA juga berhasrat mencapai lebih 10 peratus daripada 1,071 usahawan bimbingannya mengeluarkan produk terutama makanan mampu menembusi pasaran pasar raya di dalam dan luar Kelantan.

"Kita utamakan produk berpotensi seperti makanan sejuk beku yang sudah berjaya memasuki beberapa pasar raya di negeri ini dan luar Kelantan.

"Oleh itu, KADA akan membantu semua usahawan bimbingannya untuk mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta motivasi untuk membolehkan produk mereka lebih diyakini dan penerokaan pasaran lebih luas," katanya.


MOHD Ridzuan (kanan) beramah mesra bersama sebahagian penerima sempena Majlis Penyampaian Bantuan Geran Pemadanan dan Geran Penuh Industri Asas Tani (IAT) kepada usahawan bimbingan KADA, di Kota Bharu, hari ini. - Foto NSTP

Berita Harian X