Khamis, 9 Jun 2016 | 12:02am
NUR Wahidah melakukan pemprosesan bagi menghasilkan baja organik. - Foto Yazit Razali
NUR Wahidah yang memberikan bengkela menghasilkan baja organik secara percuma. - Foto Yazit Razali

Ibu tunggal promosi pertanian organik



KUALA SELANGOR: Kejadian suaminya dikesan ada masalah racun dalam darah hingga menjadi punca kematian pada tahun lalu, memberi semangat kepada Nur Wahidah Hambali untuk mempromosikan konsep pertanian organik di negara ini.

Nur Wahidah, 36, yang juga bekas Penolong Pegawai Pertanian Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, percaya penyakit suaminya, Norhisam Ramlan, itu ada kaitan dengan penggunaan baja kimia.

Sebagai seorang yang berpendidikan dalam bidang pertanian, pesan arwah suami yang mahukan segala ilmu disebarkan secara percuma dan tidak mengambil kesempatan terhadap orang kurang berkemampuan memberi semangat kepadanya untuk terus menongkah arus dalam dunia pertanian organik.

 

Nur Wahidah bangkit semula untuk menyudahkan bakti yang  ditinggalkan arwah suaminya itu.

"Selain meneruskan usaha ladang (bersama suami dulu), kami mewujudkan satu pusat komuniti pertanian lestari menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook untuk yang mengajar petani kecil dan komersial membuat baja secara sendiri bagi meningkatkan hasil pertaian.

Ia adalah kesinambungan usaha suaminya yang bercita-cita untuk menukar sektor pertanian negara kepada pertanian separa organik, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana dijemput Ilahi tahun lalu.


PEMILIK Sri NF Services, Nur Wahidah Hambali menggunakan baja organik. - Foto Yazit Razali

NUR Wahidah memeriksa tanaman. - Foto Yazit Razali

"Sejak sekian lama, saya dan suami menceburi bidang pertanian tetapi hanya beberapa tahun lalu sahaja, kami mengusahakan ladang sayuran secara separa organik membabitkan keluasan empat hektar.

 

"Namun penyakitnya menyebabkan serangan jantung secara tiba-tiba dan hanya mampu bertahan selama tiga bulan selepas terlantar sakit. Ladang itu terpaksa kami lepaskan begitu sahaja," katanya kepada BH.

 

Ibu tunggal  kepada empat cahaya mata itu, berkata suaminya itu sempat berpesan supaya meneruskan bengkel pembuatan baja organik kerana ramai petani yang masih berharap kepadanya.

 

"Ketika hayat suami, selain mengusahakan ladang, kami mewujudkan satu pusat komuniti pertanian lestari yang mengajar petani-petani kecil dan komersial membuat baja secara sendiri untuk meningkatkan hasil jualan.

 

"Kerana amanat suami itulah, saya tidak bersugul lama, sebaliknya meneruskan kembali bengkel secara percuma kepada mereka yang memerlukan tunjuk ajar," katanya juga pengendali  kepada kumpulan Facebook Kebun Kampung Taman Teknik Sendiri (KGTTT).

Ditanya mengenai tekadnya menjadi aktivis pertanian separa organik, Nur Wahidah yang juga Pengarah Syarikat Sri NF Services, berkata beliau hanya mahu menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan pertanian yang lebih lestari dan selamat.


NUR Wahidah menerangkan mengenai baja organik kepada pelanggan-pelanggan. - Foto Yazit Razali

"Suami saya jatuh sakit secara tiba-tiba dan hasil pemeriksaan doktor memberitahu bahawa terdapat racun dalam darah suami sehingga menjejaskan jantungnya. Racun itu berkemungkinan besar datang daripada aktiviti perladangan kerana dia bergiat dalam bidang ini sejak usia remaja lagi.

 

"Itu mungkin menjadi penyebab untuk saya komited ke arah pertanian lestari. Malah ketika saya mengusahakan ladang empat hektar dulu, hasil pengeluaran kami meningkat kepada 40 peratus dengan kos pengeluaran sekadar 50 peratus selepas menukar kaedah pertanian separa organik.

 

"Ramai petani menyangka baja kimia dan racun serangga mampu meningkatkan hasil tetapi mereka silap, kerana penggunaan itulah yang membunuh serangga-serangga baik yang membantu proses pendebungaan," katanya yang kini mengusahakan 121 hektar tanaman kontan separa organik di Pasir Gudang, Mersing dan Kluang, Johor bersama rakan kongsi.

 

Mengulas mengenai baja organik jenama Semprot yang diusahakan secara komersial itu, Nur Wahidah berkata, dia tidak lokek berkongsi formula penghasilan bahan campuran itu, walaupun ada anak didiknya mendapat keuntungan dengan menjual baja terbabit.


NUR Wahidah Hambali memeriksa hasil tanaman beliau yang menggunakan baja organik. - Foto Yazit Razali

"Suami pernah berpesan supaya saya ajar mereka sampai pandai dan jika mereka mahu mendapat keuntungan hasil resipi itu, saya tidak kisah. Saya telah usahakan produk Semprot dan Alhamdullilah setakat ini penerimaannya amat baik sekali," katanya yang mengeluarkan secara konsisten 2,000 liter baja organik pelbagai kegunaan setiap bulan.

 

Berkongsi formula mudah, Nur Wahidah menasihati suri rumah negara ini supaya bercucuk tanam secara kecil-kecilan di sekitar rumah dan membuat baja organik sendiri untuk menjimatkan belanja dapur.

 

"Hanya tiga perkara yang perlu disediakan bagi menghasil baja sendiri iaitu tong kosong, gula merah dan sisa masakan seperti sisa ikan, tulang-temulang, sayuran rosak dan kulit telur. Caranya sekilo gula merah dicampur ke dalam sekilo sisa masakan dan diperam di dalam tong itu selama tiga hingga empat minggu," katanya.

 

Produk Semplot yang diusahakan Nur Wahidah menghasil baja untuk buah (baja Panen), bunga (baja Meqar) dan daun (baja Tuqul).

 

Bagi mereka yang mahu mendapatkan petua atau berhubung dengan Nur Wahidah, boleh kunjungi kumpulan Facebook Kebun Kampung Taman Teknik Sendiri (KGTTT) atau ke Pusat Pembangunan Komuniti Pertanian Lestari di Kuala Selangor.

Berita Harian X