Rabu, 8 Jun 2016 | 10:12am

Harga minyak kekal kukuh atas paras AS$50


- Gambar hiasan

TOKYO: Harga minyak kekal kukuh menghampiri paras tertinggi dalam lapan bulan, disokong perangkaan industri yang menunjukkan kejatuhan yang lebih besar daripada dijangkakan dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan mengenai serangan terhadap industri minyak Nigeria.

Kontrak minyak mentah Brent bagi penghantaran Ogos jatuh dua cents kepada AS$51.42 setong pada 0108 GMT, selepas naik 0.89 cents semalam. Ia mencecah paras AS$51.55, paras tinggi sejak 12 Oktober.

Kontrak minyak mentah di NYMEX bagi penghantaran Julai naik empat cents kepada AS$50.40 setong, selepas naik 67 cents semalam untuk ditutup melepasi paras AS$50 buat kali pertama sejak Julai tahun lalu.

Inventori minyak mentah komersial AS jatuh sebanyak 3.6 juta tong minggu lalu, demikian mengikut perangkaan daripada kumpulan industri, Institut Petroleum Amerika (API) berbanding jangkaan kejatuhan sebanyak 2.7 juta tong mengikut pungutan suara yang disemak semula Reuters.

Kebimbangan mengenai gangguan bekalan global juga menyokong pasaran, kata penganalisis.

Militan menyerang paip minyak dan gas di Nigeria yang menyebabkan pengeluaran minyak negara Afrika itu jatuh ke paras terendah dalam tempoh 20 tahun.

Pengeluaran minyak mentah Nigeria adalah sekitar 1.5 juta dan 1.6 juta tong sehari, jatuh berbanding 2.2 juta tong pada permulaan tahun.

Namun begitu, kebimbangan mengenai permintaan global memberi kesan terhadap harga. Bank Dunia mengurangkan unjuran pertumbuhan global bagi 2016 kepada 2.4 peratus berbanding 2.9 peratus yang diunjurkan pada Januari berikutan harga komoditi yang kekal rendah, permintaan yang lembap di negara maju, perdagangan lemah dan pengurangan aliran modal.

Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menaikkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak AS bagi 2016, dengan memetik bahawa permintaan akan meningkat sebanyak 220,000 tong sehari berbanding 140,000 tong sehari sebelumnya.

Ekonomi Jepun berkembang lebih pantas berbanding unjuran awal pada suku pertama. - Reuters

Berita Harian X