Selasa, 7 Jun 2016 | 2:49pm

Proton tawar promosi Raya, pemeriksaan percuma

SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd, menerusi anak syarikatnya Proton Edar Sdn Bhd menawarkan promosi Hari Raya dan pemeriksaan 20 titik keselamatan percuma kepada pemilik kenderaan Proton di semula cawangan servis berlesen seluruh negara.

Promosi perayaan itu termasuk penjimatan menarik ke atas pembelian bagi pelanggan dan pemilik sedia ada PROTON.

Pelanggan yang berminat membeli kereta baharu semasa musim perayaan ini akan menikmati penjimatan hingga RM3,000 bagi beberapa model Proton terpilih 2016, dengan ansuran bulanan serendah RM367 bagi Proton Saga.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Rohime Shafie, berkata selain promosi musim perayaan, syarikat juga mengadakan kempen pemeriksaan keselamatan percuma sebagai sebahagian inisiatif untuk mempromosikan kesedaran keselamatan kenderaan kepada pelanggan.

"Kami sudah mengadakan pemeriksaan keselamatan ini sejak tiga tahun lalu kerana PROTON sentiasa mengutamakan keselamatan khususnya semasa musim puncak seperti cuti dan hari perayaan lain.

"Ini penting bagi menyokong saranan kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya semasa musim perayaan dan cuti sekolah," katanya dalam satu kenyataan.

Rohimi berkata, pemeriksaan keselamatan yang disediakan termasuk sistem brek, suspensi, tayar, bateri, bilah pencuci tingkap, tali pinggang keledar, lampu dan paras bendalir seperti minyak enjin, bendalir brek, bahan pendingin dan pengelap cermin.

"Selain itu, kami turut menawarkan pelbagai diskaun ke atas alat ganti terpilih seperti "absorber", brek, klac dan tali sawat," katanya.

Selain diskaun yang ditawarkan kepada alat ganti terpilih, Proton juga menawarkan diskaun khas caj buruh kepada pelanggan yang menghantar kereta ke pusat servis berlesen Proton.

Kempen servis diadakan dari 1 Jun hingga 31 Julai 2016 dan kedua-dua promosi akan disediakan ke semua cawangan Proton seluruh negara.

Berita Harian X