Selasa, 7 Jun 2016 | 12:02am

Keunikan 'kopi abang sado'



BATU PAHAT: Fenomena kopi jalanan yang melanda negara menyebabkan banyak gerai kopi jalanan dengan pelbagai jenama wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Dengan harga serendah RM5, pembeli pasti rambang mata memilih perasa kopi kegemaran masing-masing di samping pelbagai perasa tambahan termasuk coklat, vanila serta teh hijau turut ditawarkan.

Ketika kebanyakan jangka hayat usaha kopi jalanan tidak mampu bertahan lama berikutan fenomena yang tercetus sejak tahun lalu itu mula mengendur, jenama Lanoon Coffee hasil cetusan tiga anak muda berasal dari sini, terus menempa kejayaannya tersendiri.

Muhamad Faiz Rahim, 27, Mohamed Firdaus Zainal Abidin, 25, dan Mohd  Fadzli Hairuddin, 26, tidak menyangka percubaan berniaga kopi jalanan berjaya mengubah kehidupan mereka.

Bukan sahaja jenama ciptaan mereka bertiga itu berjaya menggamit selera pelanggan, malah ia turut mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya disenaraikan sebagai antara 11 minuman dan makanan yang paling 'trending' di media sosial tahun lalu.


FIRDAUS (kiri) dan Faiz (kanan) menunjukan sebahagian menu coffee yang dihasilkan di gerainya berhampiran Dataran Penggaram, Batu Pahat. - Foto Shaiffulazhar Misri

Lebih membanggakan, hasil jualan minuman kopi jalanan mereka di tiga lokasi utama di Batu Pahat, Parit Raja dan Kluang pernah mencatatkan pendapatan mencecah enam angka sebulan sepanjang fenomena cuaca panas El Nino yang melanda negara.

Jenama berkenaan juga sudah difrancaiskan ke enam negeri di Semenanjung iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang, selain Johor dengan berjaya melahirkan 16 usahawan muda kopi jalanan hasil didikan serta latihan mereka.

Menceritakan permulaan Lanoon Coffee, Muhamad Faiz berkata, mereka bertiga sebenarnya baharu sahaja berkenalan serta bersahabat tahun lalu apabila sering beriadah serta bersenam di gimnasium yang sama di Parit Raja, dekat sini.

Katanya, minat terhadap sukan bina badan menyebabkan mereka bertiga menjadi rapat sebelum bergurau sesama mereka untuk mula berniaga kopi jalanan bersama-sama berikutan fenomena konsep minuman sebegitu mula tercetus.

"Semuanya berlaku dengan pantas mungkin sebab kami masih muda dan 'sekepala'. Apatah lagi, Mohamed Firdaus dan Mohd Fadzli memang berniaga di pasar malam, jadi ia memudahkan perbincangan kerana mereka mahir dalam selok-belok meniaga.


PROSES hiasan dan pembungkusan dititik beratkan supaya pelanggan berpuashati dengan pembelian minuman Lanoon Coffee. - Foto Shaiffulazhar Misri

"Selepas membuat penyelidikan di Internet, kami menemui pengusaha serta pembekal campuran serbuk kopi di Ipoh, Perak sebelum bersetuju mendapatkan produknya untuk dipasarkan di kawasan Parit Raja.

"Kami yang tidak mempunyai modal awal juga terpaksa menebalkan muka meminjam wang rakan sebanyak RM3,000 bagi membeli stok awal serbuk kopi.

"Pada masa itu, masih belum ada lagi gerai kopi jalanan beroperasi di kawasan Batu Pahat dan Parit Raja. Namun, apa yang paling memeranjatkan kami, pada hari pertama mula berniaga dan baru nak buka khemah, orang sudah mula beratur untuk mendapatkan minuman kopi jalanan yang kami jual," katanya kepada BH.

Ditanya apa yang menyebabkan orang ramai sudah beratur mahu mendapatkan produk dijual mereka sedangkan mereka belum pernah mencubanya, Mohamed Firdaus berkata, medium media sosial banyak membantu mereka membuat promosi awal sehingga mencetuskan minat orang ramai untuk mencuba.

Katanya, beberapa hari sebelum membuka gerai kopi jalanan, mereka bertiga sudah mula mempromosikannya di beberapa kumpulan laman sosial Facebook (FB) dengan menggunakan logo khas yang direka sendiri, sekali gus mencetus minat awal orang ramai.

"Taktik kami menggunakan hashtag #kopiabgsado di Twitter juga berjaya mencetus minat orang ramai yang mahu tahu apa sebenarnya keistimewaan minuman kopi yang kami jual. Akhirnya minuman yang kami jual digelar 'kopi abang sado'.

"Paling manis, strategi promosi awal kami berjaya sehingga orang ramai mula berbaris sebelum gerai kami dibuka sehingga tidak menang tangan melayan pelanggan, malah jualan minuman kami pernah mencapai sehingga 700 cawan satu hari," katanya.


Mohd Faiz Rahim (kiri) membantu menyiapkan persiapan untuk mendapatkan jus asli mangga yang dijual dengan harga RM2.50 secawan. - Foto Shaifulazhar Misri

Namun, ujian menimpa mereka bertiga apabila pembekal utama di Ipoh, Perak menamatkan perjanjian pembekalan serbuk kopi selepas tiga bulan bekerjasama di kala fenomena kopi jalanan di jual mereka sedang memuncak.

Muhamad Faiz berkata, pada mulanya mereka bertiga panik kerana sambutan hebat yang diberikan masyarakat sekitar daerah ini dan ketiadaan produk serbuk kopi boleh membunuh perniagaan mereka yang baharu saja bermula.

"Alhamdulilah, rezeki kami masih ada kerana dalam kekalutan mencari pembekal baharu, kami akhirnya ditemukan dengan pembekal serbuk kopi yang memiliki kilang mereka sendiri di Lembah Klang yang sudi membekalkan produk serbuk kopi dan beberapa perasa minuman lain.

"Lebih menggembirakan, pembekal berkenaan memberi kebebasan kepada kami mencipta sukatan serta mengadun serbuk kopi serta perasa unik mengikut resepi serta cita rasa kami sendiri.

"Kerjasama berkenaan juga berjaya mengukuhkan jenama kami, Lanoon Coffee yang kini sedang dalam proses didaftarkan hak cipta jenama berkenaan," katanya.

Kini Lanoon Coffee bukan sahaja memiliki peminat setia jenama minuman kopi jalanan mereka, malah mereka juga memperkenalkan minuman baharu berasakan pati buah mangga yang diadun sepenuhnya menggunakan tiga mangga tempatan hasil bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), yang diberi nama Mangonja.

Muhamad Faiz berkata, walaupun diuji dan berdepan cabaran dalam perniagaan, mereka bertiga nekad akan terus membangunkan jenama Lanoon Coffee apatah lagi ia sudah memiliki peminat tegar tersendiri.

"Paling mengujakan kami menerima permohonan hampir 500 pemohon termasuk dari Sabah dan Sarawak yang mahu menyertai francais jenama kopi Lanoon Coffee, namun kami perlu meneliti dahulu permohonan berkenaan termasuk sama ada kami berkemampuan membekalkan mereka produk serbuk kopi ciptaan kami di samping latihan yang perlu diikuti," katanya.


PROSES hiasan dan pembungkusan dititik beratkan supaya pelanggan berpuashati dengan pembelian minuman Lanoon Coffee. - Foto Shaiffulazhar Misri

  • INFO: Lanoon Coffee
  • - ditubuhkan sejak Ogos tahun lalu

  • - diasaskan tiga anak muda rakan gimnasium yang mengelarkan diri mereka 'abang sado'

  • - berjaya difrancaiskan dan dijual di enam negeri

  • - 16 usahawan muda kopi jalanan dilahirkan menerusi jenama mereka

  • - menjual 19 perasa kopi termasuk resepi unik ciptaan mereka termasuk Chocolate Cookies & Vanila Cookies

  • - harga setiap produk serendah RM5 seunit

  • - memperkenalkan minuman baharu, Mangonja, pati mangga daripada 3 mangga tempatan yang dijual hanya RM2.50.

 

Berita Harian X