Isnin, 6 Jun 2016 | 5:47pm

HVKB agih 600 bekas bubur lambuk


PENGURUS Operasi HVKB, Muhammad Azrin Zainal Abidin mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di sepanjang laluan Wakaf Che Yeh di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Sebanyak 600 bekas bubur lambuk diagihkan Holiday Villa Hotel & Suites Kota Bharu (HVKB) kepada pengguna jalan raya di sepanjang laluan Wakaf Che Yeh di sini.

Agihan yang bermula sejak jam 3.30 petang tadi itu membabitkan 15 kakitangan HVKB yang membuka gerai di tepi jalan dan mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya.

Pengurus Operasi HVKB, Muhammad Azrin Zainal Abidin, berkata agihan itu adalah sebagai simbolik kepada permulaan puasa dan menambah keberkatan sempena Ramadan antara HVKB dan orang ramai.

"Ini adalah tahun ketiga agihan diadakan di mana tahun lalu pihak kami menyediakan gulai kawah sebanyak 400 bungkus.

"Bubur ini dimasak oleh sepasukan chef kami sejak jam 9 pagi tadi lagi dan pengagihan seperti ini adalah tradisi HVKB setiap tahun untuk hari pertama berpuasa," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata agihan itu juga adalah untuk mempromosikan pelbagai jenis makanan yang disediakan hotel berkenaan yang disediakan sepanjang Ramadan.

Katanya lagi hidangan yang disediakan secara bufet dengan bertemakan 'Santapan Zaman Silam' menyediakan hampir 500 menu yang berlainan setiap hari.

"Menu utama adalah Kibas Panggang Couscous dan pakej bufet adalah serendah RM65 untuk dewasa manakala RM32 untuk kanak-kanak.

"Pihak kami juga menyediakan buffet sahur untuk mereka yang menginap di hotel ini serta aneka colek," katanya.

Berita Harian X