Khamis, 2 Jun 2016 | 5:29pm

Huckle sasar cabul kanak-kanak komuniti miskin


PEDOFILIA kelahiran Britain, Richard Huckle. - Foto AFP

LONDON: Pedofilia kelahiran Britain, Richard Huckle, 30, yang kini berdepan pelbagai pertuduhan dan berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah terhadap 71 tuduhan menyerang secara seksual kanak-kanak di Malaysia, mula mengunjungi negara ini pada 2005.

Dia kemudian mengunjungi Kemboja sebelum kembali semula ke Malaysia pada 2007 dan menetap di sebuah perkampungan kecil.

Tertuduh berpindah ke Malaysia secara kekal dan mendaftar di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur untuk mendalami bidang teknologi maklumat. Huckle juga mendakwa bertugas sebagai jurugambar profesional.

Dia malah menawar khidmat mengambil gambar pada majlis hari jadi kanak-kanak dan menggunakan peluang itu untuk merakam gambar Duke dan Duchess of Cambridge pada 2012 ketika lawatan William dan Kate ke sebuah taman di Kuala Lumpur.

Huckle mendapat kepercayaan komuniti Kristian miskin di Kuala Lumpur dengan mengadakan kelas bahasa Inggeris yang membolehkan dia menggunakan statusnya sebagai orang Barat kaya untuk mempengaruhi mangsa dan keluarga sewenang-wenangnya.

Selama beberapa tahun, Huckle bergerak secara diam daripada satu komuniti ke satu komuniti lain, menyasarkan kanak-kanak miskin. Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia tidak menyedari aktivitinya selama ini.

Tertuduh yang berasal dari Ashford di Kent, mengakui melakukan kesalahan ke atas mangsa berusia antara enam bulan dan 12 tahun antara 2006 hingga 2014. Dipercayai Huckle turut mencabul hingga 200 kanak-kanak.

Keputusan hukuman itu dijangka diputuskan esok. Sebanyak 91 pertuduhan mengaitkan 23 kanak-kanak terdiri daripada masyarakat miskin di pinggir Kuala Lumpur.

Dia mengakui terhadap 71 pertuduhan termasuk 14 kesalahan rogol dan 31 serangan seksual.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Perlindungan dan Selamatkan Kanak-Kanak Malaysia, Mariza Abdul Kadir, berkata pihaknya turut tertanya-tanya mengapa tiada siapa tampil untuk menghentikan jenayah Huckle.

"Kami tidak faham mengapa tiada kerjasama antara Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) dan polis tempatan.

"Saya tahu NCA tidak mempunyai kuasa di negara lain, memasuki dan menangkap seseorang tetapi saya tidak faham mengapa polis di sini tidak diberi maklumat supaya memantau beliau," katanya.

Beliau juga mengkritik NCA kerana gagal memaklumkan kepada pemimpin masyarakat di Malaysia mengenai tahap jenayah beliau sehingga 16 tahun selepas penangkapannya.

Mariza berkata, pihaknya dikunjungi polis Britain pada Disember 2014 namun tidak memberi banyak maklumat.

"Mereka tidak memberikan banyak maklumat kepada kami dan kami menemui masyarakat sebagai pertubuhan bukan kerajaan, berusaha mencegah penderaan seksual, menyediakan bengkel keselamatan dan ceramah kepada ibu bapa," katanya.

Mariza juga berkata, ada ibu bapa dan penjaga mangsa yang masih enggan menerima hakikat itu.

"Kami kini berusaha menyampaikan mesej kepada mereka, menerangkan ia bukan salah mereka, bukan salah kanak-kanak.

"Penderaan seksual ke atas anak mereka sesuatu yang langsung mereka tidak ingin terjadi," katanya. - Agensi

Berita Harian X