Khamis, 2 Jun 2016 | 12:09am
STEPHEN Van Huizen.- Foto Owee Ah Chun

Trofi Juara-Juara Asia peluang terbaik baiki ranking dunia

KUALA LUMPUR: Presiden Kehormat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menaruh harapan agar skuad hoki negara menggunakan kelebihan menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia, dengan mencatatkan keputusan yang baik.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) berkata, adalah penting untuk meningkatkan ranking dunia skuad kendalian Stephen Van Huizen itu yang kini menduduki tangga ke-13 dunia.

Beliau turut mengesahkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bersetuju memberi mata bagi ranking dunia untuk kejohanan peringkat benua itu yang bakal dianjurkan Malaysia buat pertama kali dari 19 hingga 30 Oktober ini di Kuantan.

"FIH mengiktiraf semua kejohanan serantau ini dan dipertimbangkan untuk mata ranking. FIH juga memperkenalkan format baharu Liga Hoki Dunia melibatkan kelayakan bagi Piala Dunia dan Sukan Olimpik," katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kejohanan itu di sini, hari ini.

Tengku Abdullah yang mewakili badan induk hoki Asia itu menandatangani perjanjian tersebut manakala Konfederasi Hoki Malaysia diwakili presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, sebagai penganjur.

Selain Malaysia, turut mengambil bahagian pada kejohanan yang menjadi rebutan enam negara terbaik benua Asia yang diperkenalkan pada 2011 itu ialah India, Pakistan, Jepun, China dan Korea Selatan.

Sementara itu, Subahan berkata badan induk hoki negara itu yakin skuad kebangsaan dapat memberi saingan sengit kepada jaguh hoki Asia seperti India, Korea Selatan dan Pakistan yang menduduki ranking lebih tinggi.

"Kita berdepan risiko jatuh ke tangga bawah selepas Sukan Olimpik kerana tidak layak, tetapi dengan adanya kejohanan ini, kita berharap dapat kumpul lebih banyak mata untuk memperbaiki ranking.

"Kita juga dalam proses merombak pasukan kebangsaan kerana percaya kepada pemain muda di mana purata umur pemain pada Piala Sultan Azlan Shah yang lalu ialah 22 tahun. Kita ada pemain seperti Aiman Nik Rosemi yang menunjukkan prestasi baik.

"Ini bukan bermaksud kita tidak menghargai pemain lama, tetapi sebagai persediaan ke Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. Maka kita perlukan pemain yang telah mempunyai pengalaman pada masa itu," katanya.- BERNAMA

Berita Harian X