Rabu, 1 Jun 2016 | 6:23pm

Aset Kayamas dapat pembiayaan MBSB, RM425j

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Aset Kayamas Sdn Bhd, mendapat sokongan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) apabila diberi pinjaman penyambung bernilai RM425 juta.

Pengarah Eksekutif, Michael Chai, berkata pinjaman itu adalah bagi dua projek hartanah yang baharu dilancarkan di Bukit Jalil, iaitu Parkhill Residence dan Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Beliau berkata, PPA1M dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM356 juta menawarkan 1,536 unit pangsapuri khusus untuk penjawat awam.

Tiga saiz kediaman disediakan iaitu pangsapuri tiga bilik tidur dan dua bilik air itu, dengan keluasan lantai 1,000 kaki persegi; 1,200 kaki persegi dan 1,424 kaki persegi.

Kondominium Parkhill Residence dengan GDV RM780 juta pula merangkumi dua menara menawarkan 2,500 unit kediaman, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian pinjaman penyambung antara Aset Kayamas dan MBSB di sini, hari ini.

Memeterai perjanjian itu, Aset Kayamas diwakili Pengerusi, Tan Sri Chai Kin Kong, manakala MBSB oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Zaini Othman.

Yang hadir sama Pengarah MBSB, Datuk Jasmy Ismail dan Naib Presiden Kanan Bahagian Perniagaan Korporat, Nor Azam M Taib.

Aset Kayamas menawarkan dua jenis kediaman bagi Parkhill Residence. Jenis D menawarkan tiga bilik tidur dua bilik air dengan keluasan lantai 1,100 kaki persegi, dan jenis E dengan 1,300 kaki persegi pula menyediakan empat bilik tidur dan dua bilik air.

Harga bagi Parkhill Residence bermula daripada RM555,000 hingga RM680,000 seunit.

Michael berkata, Aset Kayamas sedang dalam proses untuk mendapatkan satu lagi pembiayaan daripada MBSB untuk projek kediaman, The Hamilton di Wangsa maju dan The Haute di Datuk Keramat.

Berita Harian X