Rabu, 1 Jun 2016 | 1:25pm

PERODUA guna minyak pelincir PETRONAS untuk 5 tahun lagi

PETALING JAYA: Perodua Sales Sdn Bhd dan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM355 juta bagi pembekalan 17 juta liter minyak enjin untuk PERODUA bagi tempoh lima tahun akan datang.

Perjanjian terbaharu itu mencatat peningkatan 21 peratus berbanding kontrak semasa yang akan berakhir hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PLMM, Zubair Abdul Razak, berkata kerjasama yang terjalin sejak tahun 2003 itu bukan sekadar transaksi perniagaan tetapi jelas sekali sebagai testimoni keyakinan dan kepercayaan PERODUA terhadap keupayaan PETRONAS untuk membekalkan produk berkualiti dan perkhidmatan yang terbaik.

"Kerjasama ini juga mengukuhkan lagi segmen pengguna terhadap perniagaan minyak pelincir PETRONAS, yang mana akan menjadi tunjang kepada pertumbuhan syarikat dalam usaha melangkah lebih ke hadapan," katanya di sini hari ini.

Memeterai MoU itu, Perodua Sales diwakili Pengarah Urusan, Dr Zahari Husin manakala PLMM diwakili Zubair.

Perjanjian baharu itu berkuat kuasa mulai Januari 2017 hingga Disember 2021.

Berita Harian X