Isnin, 30 Mei 2016 | 6:41pm

Segmen perniagaan hartanah TA Enterprise lebih rancak

KUALA LUMPUR: TA Enterprise Bhd, syarikat pegangan pelaburan yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, menjangka segmen perniagaan hartanah yang lebih rancak tahun ini menerusi pelancaran dua projek hartanah baharu bernilai kira-kira RM930 juta.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Tan Kuay Fong, berkata projek itu ialah Ativo Suite di Damansara Avenue, Petaling Jaya dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM450 juta dan kediaman Little Bay Cove, di Sydney, Australia dengan GDV AUS$160 juta (RM480 juta).

Beliau berkata, Ativo Suite yang terletak bersebelahan Ativo Plaza, akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini, merangkumi dua menara pangsapuri khidmat menawarkan 668 unit kediaman.

Kita-kira 70 peratus unit di Ativo Suite adalah studio dengan keluasan lantai 500 kaki persegi, 600 kaki persegi dan 650 kaki persegi, manakala baki adalah unit lebih besar berkeluasan 1,000 kaki persegi, 1,200 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi.

"Ativo Suite akan disambungkan ke Ativo Plaza dan Azelia Residence, sekali gus meningkatkan lagi segmen peruncitan Ativo Plaza. Apabila siap sepenuhnya nanti Damansara Avenue bakal menjadi perbandaran unggul di Petaling Jaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TA Enterprise dan TA Global Bhd di sini, hari ini.

TA Enterprise Bhd adalah syarikat pegangan pelaburan terbabit dalam perniagaan teras menyediakan perkhidmatan kewangan dan sektor hartanah.

Kuay Fong, berkata pelancaran kedua tahun ini ialah kediaman mewah di Little Bay Cove, Sydney, Australia, lewat tahun ini.

Katanya, sungguhpun projek Illume di Little Bay Cove, merangkumi tiga blok lima tingkat menawarkan 179 unit pangsapuri kediaman itu dilancarkan tahun lalu, ia dikira sebagai pelancaran baharu berikutan keuntungannya hanya akan direalisasikan tahun ini.

Little Bay Cove terletak di kawasan seluas 5.44 hektar mengadap lautan. Sebelum ini, sebanyak 45 unit pangsapuri mewah Solis habis dijual dan penyerahan kunci kepada pembeli akan disempurnakan bulan depan.

Mengenai segmen perkhidmatan kewangan, beliau berkata, ia kini memiliki sembilan cawangan firma pembrokeran saham dan lebih banyak cawangan akan dibuka sekiranya ada permintaan.

Berita Harian X