Isnin, 30 Mei 2016 | 9:30am

DIGITORIAL: Perayaan kukuh nilai murni, kekeluargaan


ZAHARIAH (empat dari kanan) bersama Rizan (tiga dari kanan) beramah mesra dengan Philip (dua dari kanan) serta barisan pelakon filem Renai di Kuching, baru-baru ini.

Berlainan adat dan kepercayaan, tetapi sambutan Kaamatan dan Gawai Dayak di Sabah dan Sarawak berkongsi nilai murni sama dengan perayaan besar di Semenanjung kerana menekankan kepada keutuhan hubungan kekeluargaan, selain kepentingan bersyukur.

Seperti juga sambutan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina mahupun Deepavali, rakyat Sabah dan Sarawak yang menyambut kedua-dua sambutan itu mengambil peluang pulang ke kampung halaman mahupun rumah panjang semata-mata mahu meraikan 'sambutan kesyukuran', terutama bersama saudara terdekat.

Pesta Kaamatan disambut etnik Kadazan-Dusun di Sabah, manakala Gawai Dayak disambut lebih 60 peratus daripada penduduk Bumi Kenyalang terutama etnik Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit dan Orang Ulu.

Gawai Dayak juga dikenali sebagai Pesta Menuai, tetapi ada beberapa lagi sambutan Gawai seperti Gawai Kenyalang, Gawai Batu, Gawai Antu, Gawai Bersimpan dan Gawai Padi.

Rasa tanggungjawab

Sehubungan itu, sebagai syarikat yang memelihara khazanah gas dan minyak negara, PETRONAS mempunyai rasa tanggungjawab mahu sambutan Kaamatan dan Gawai Dayak diberi publisiti meluas demi memastikan kemantapan kesepaduan sosial menerusi pendekatan promosi kreatif.

Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah Abd Rahman, berkata PETRONAS berpandangan sambutan Kaamatan dan Gawai Dayak perlu ditampilkan dengan gaya promosi berlainan dan muncul idea penghasilan sebuah filem sesawang berjudul Renai.

"Filem berkenaan yang boleh ditonton bermula hari ini memberi mesej jelas kepada setiap warga Malaysia berkenaan kegigihan mencapai masa depan lebih cerah.

"Filem yang berkongsi suka duka seorang kanak-kanak bernama Renai boleh dijiwai seluruh masyarakat kerana turut memaparkan nilai kasih sayang kepada kedua orang tua yang banyak berkorban demi anak-anak, termasuk mesej kesyukuran kerana dilimpahi rezeki. Maka, kisah Renai ini mencerminkan kepelbagaian dan tempat pertemuan pelbagai budaya, selain kesepaduan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pratonton media bagi filem berkenaan di China House, Bangunan Mahkamah Lama, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar, Jabatan Pengurusan Jenama, Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS, Rizan Ismail, serta barisan pelakon iaitu Anastazia Uding Bala yang memegang watak sebagai Renai ketika kecil; Lydiawati Bujang (Renai ketika dewasa), Emilyn Sinangsi Ayu (ibu Renai) serta Julian Lian Bala (ayah Renai), termasuk Pengarah filem itu, Philip Rom Kulleh. 

Sementara, Philip berkata, beliau mengambil masa seminggu bagi menyiapkan filem sesawang berdurasi tiga minit itu yang menjalani penggambaran di kawasan pedalaman Sarawak dan pergunungan Sabah.

"Idea yang diilhamkan bersama PETRONAS adalah berdasarkan satu kisah kemanusiaan. Cerita ini tidak menunjukkan perayaan...Ia hanya berakhir dengan ucapan dan memberi tumpuan kepada moral cerita," katanya. 

Berita Harian X